25 November 2014

Syed Azlan mati dibunuh, bukan ‘kematian mengejut’ – LFL


KUALA LUMPUR 25 NOV: Kes kematian seorang tahanan polis di Johor baru-baru ini adalah kejadian mati dibunuh dan bukan kematian mengejut, kata Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty (LFL), Eric Paulsen.
Beliau merujuk kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan yang mendakwa tahanan berkenaan, Syed Mohd Azlan Syed Mohd Nur mati akibat kesukaran bernafas.
Menurut Eric, kenyataan itu bertentangan dengan laporan bedah siasat yang mengatakan punca kematian mangsa disebabkan hentakan benda tumpul di bahagian dada.
“Polis Johor mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut adalah memeranjatkan dan tidak boleh diterima. Jelas polis tidak mengambil serius kes berkenaan, sama seperti banyak kematian dalam tahanan di seluruh negara,” jelasnya dalam satu kenyataan media.
Pada 3 November lalu, Syed Mohd Azlan, 25 dilapor meningal dunia ketika di dalam tahanan, tiga jam selepas polis menyerbu rumahnya di Johor untuk mencari senjata api.
Menurut Eric, kematian dalam tahanan merupakan perlakuan jenayah yang keji dilakukan polis dan ia tidak harus dibiarkan terus berlaku di negara ini.
“Pihak polis tidak boleh mengambil jalan keluar ketika soal siasat, mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyerang dan mendera suspek dalam tahanan mereka, lebih-lebih lagi kuasa untuk membunuh,” tegasnya.
Justeru beliau menggesa polis Johor memulakan siasatan terhadap pembunuhan suspek dengan menggantung semua anggota polis yang terlibat.
Selain itu beliau juga mengulangi gesaan agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyiasat aduan mengenai salah laku anggota pasukan itu.
“Malaysia tidak boleh dibenarkan menjadi sebuah negara polis di mana tahanan mati atau dibunuh semasa dalam tahanan polis tanpa sebaang kebertanggungjawaban atau penyelesaian,” tegasnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=64273

1 comment:

Anonymous said...

errr..
bleh saman ke...?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive