18 December 2014

Hudud di Kelantan tidak perlu restu Sabah & Sarawak?

Hudud tidak termasuk langsung dalam Perjanjian Malaysia pada 1963 yang membawa bersama Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Bolehkah hudud dilaksanakan di Kelantan tanpa restu Sabah dan Sarawak.
Satu hujah yang paling sering dikemukakan untuk menyokong pelaksanaan hudud di Malaysia ialah sistem perundangan sebelum penjajahan British berdasarkan hukum Islam. Dalam kata lain, pelaksanaan hudud bukanlah membawa sesuatu yang baru, tetapi mengembalikan sesuatu yang sesudah wujudnya dulu.
Hujah kedua yang sering didengar berpaksikan hasrat majoriti. Kalau kebanyakan umat Islam yang merupakan kaum majoriti di Malaysia ingin hudud dilaksanakan, mengapa hasrat mereka tidak boleh dihormati?
Kedua-dua hujah ini, sungguhpun boleh dipertikaikan, bukanlah langsung tidak berasas kalau negara ini masihlah Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), dan Malaysia tidak ditubuhkan pada 1963.
Sabah dan Sarawak bukan negeri Melayu
Dengan penubuhan Malaysia, Tanah Melayu menjadi sejarah dan negara sekarang bukan lagi pewaris kesultanan Melaka tetapi pewaris British Malaya dan British Borneo. Kesultanan Melaka dan pewarisnya kesultanan Johor Riau tidak pernah berkuasa untuk seharipun di bumi Borneo.
Oleh itu, Sabah dan Sarawak tidak pernah menjadi negeri Melayu seperti negeri-negeri di Semenanjung.
Sungguhpun dahulukalanya Sarawak dan Sabah Barat adalah tanah jajahan kesultanan Brunei manakala Sabah Timur adalah di bawah kesultanan Sulu, kuasa kedua-dua kesultanan ini adalah lebih bersifat nominal.
Kita tidak pernah membaca rekod tentang jentera pemerintahan terutamanya kehakiman Syariah di Kuching, Kota Kinabalu atau Sandakan, apatah lagi di Mukah, Kapit, Kudat, Keningau dan Sipitang.
Sistem kehakiman umum yang dikenali semua lapisan rakyat Sarawak dan Borneo Utara (nama lama Sabah) sampai tertubuhnya Malaysia berasaskan Common Law, bukan hukum syariah.
Maka, untuk Sabah dan Sarawak, pelaksanaan hukum Syariah bukanlah pengembalian sistem lama, tetapi pengenalan sistem baru.
Maka, hujah pro-hudud pertama, yang berasaskan sejarah, gagal kerana Malaysia merangkumi Sabah dan Sarawak.
Perjanjian Malaysia 1963 tidak mengandungi hudud
Hujah pro-hudud yang kedua, berasaskan hasrat majoriti, juga gagal setidak-tidaknya kerana hudud tidak pernah dibangkitkan dalam perundingan antara Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia.
Kita tidak akan menjumpai perkataan hudud dalam seluruh Perjanjian Malaysia 1963. Kalau dimaklumkan Malaysia akan melaksanakan sistem perundangan jenayah yang berunsurkan agama, sama ada merangkumi semua warga ataupun membedakan hukuman mengikut kepercayaan penjenayah itu, sudah pasti Sabah dan Sarawak akan menolak gagasan Malaysia.
Tiada orang Borneo untuk menegakkan kebebasan agama ini boleh dilihat dalam perkataan “Batu Sumpah Peringatan Mengikut Perlembagaan” di Keningau, Sabah. Syarat pertama untuk “…Rakyat Sabah di dalam interior bersumpah taat setia kepada kerajaan Malaysia” ialah “Ugama bebas dalam Sabah”. Kita selalu dengar kontak sosial. Inilah sebahagiannya semangat Kontrak Sosial dalam pembentukan Malaysia.
Kontrak Sosial yang menjadi asas kepada penubuhan Malaysia Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang berdasarkan bukan saja Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi juga Perjanjian Malaysia 1963.
Jadual Kesembilan Perlembagaan ini menyenaraikan bidang kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Dalam Senarai Persekutuan, butiran keempat itu menyatakan dengan jelas “Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan” manakala Senarai Negeri dalam Butiran Pertamanya cuma merangkumi “hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam”.
Hanya dengan menghadkan hukum agama kepada perihal diri dan keluarga, maka barulah Perkara 8 “Kesamarataan” yang melarang “diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang” boleh menjadi kenyataan.
Kerana Jadual Kesembilan dan Perkara 8 begitu penting dalam Perlembagaan kita, dan menjadi asas pembentukan Malaysia, maka ini tidak boleh dipinda berasaskan majoriti, sekalipun majoriti dua pertiga.
Pengundi di Sabah dan Sarawak cumalah satu per enam beratnya di seluruh Malaysia. Sekalipun dengan perwakilan berlebihan, ahli Parlimen kedua-dua negeri ini pun cumalah sesuku beratnya.
Jika Sabah dan Sarawak diajak membentuk Malaysia dengan sesuatu perjanjian, dan selepas pembentukan Malaysia, perjanjian ini pula dipinda dengan cara yang tidak dapat diveto kedua-dua negeri ini, maka perjanjian ini seolah-olah penipuan dan asas moral pembentukan Malaysia akan terancam. – TMI

1 comment:

Anonymous said...

Kan lps ni akan dibawa ke parlimen utk dibahas dan diundi...ngok ke penulis ni....tetiba bab hudud byk songel plak

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive