03 January 2015

Bekas pramugara MAS kena tahanan rumah di Paris


Bekas pramugara Malaysia Airlines yang ditahan di sebuah pusat tahanan Paris selama hampir lima bulan kerana dituduh melakukan serangan seksual ke atas seorang penumpang kini dibebaskan tetapi diletakkan di bawah tahanan rumah sementara menunggu selesainya penyiasatan pihak berkuasa Perancis, kata peguam keluarganya.Peguam Shailender Bhar berkata, bekas pramugara yang berusia 57 tahun itu, yang ditahan Ogos lepas, dibebaskan tiga minggu lalu walaupun siasatan masih diteruskan

"Saya sudah bercakap dengannya melalui telefon dan ahli keluarga sudah melawat beliau. Bagaimanapun, kita tidak pasti bila siasatan akan selesai," kata Shailender kepada The Malaysian Insider.

Peguam itu berkata, pramugara itu tinggal dengan seorang penduduk tempatan yang diluluskan mahkamah Perancis.Beliau berkata, dokumen perjalanan pramugara itu sudah dikembalikan kepadanya tetapi beliau tidak dibenarkan meninggalkan negara ini, dan diminta melaporkan diri di balai polis berdekatan seminggu sekali.
Shailender berkata, siasatan terhadap tuduhan penumpang itu boleh mengambil masa antara satu dan dua tahun lagi mengikut prosedur polis Perancis, dan inilah yang membimbangkan keluarganya.
"Keluarga itu perlu menanggung kos seperti membayar yuran seorang peguam Perancis yang anggarannya kira-kira RM200,000," katanya.
Shailender berkata, keluarganya juga memutuskan melantik peguam baru bagi menekankan kepada hakim yang pramugara itu mesti pulang ke tanah air untuk disiasat polis Malaysia dan mungkin menghadapi pertuduhan jika terdapat bukti mencukupi.
"Kita perlu menyedarkan hakim mengenai Konvensyen Tokyo dan menghentikan penahanan yang berpanjangan ini," katanya, sambil menambah pramugara itu perlu dibebaskan jika tiada kes untuk dijawab.
Malaysia dan Perancis ialah penandatangan konvensyen itu yang merupakan perjanjian pelbagai hala mengenai kesalahan dan beberapa perbuatan lain yang dilakukan dalam sesebuah pesawat.
Perkara 3 menyatakan, keadaan pendaftaran pesawat itu membuatkannya layak mempunyai bidang kuasa ke atas kesalahan dan perbuatan yang dilakukan di atas kapal, bermakna, Perancis tidak mempunyai bidang kuasa menyiasat pramugara itu, kata Shailender.
Peguam itu berkata, keluarganya dan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) sudah menulis surat kepada Wisma Putra memintanya campur tangan dan membawa pulang pramugara itu tetapi tidak berjaya.
"Kami mahu rundingan dibuat antara kerajaan dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu itu, tetapi ia tidak berlaku. Nampaknya kita terpaksa perjuangkan perkara ini sendiri sekarang," katanya.
Shailender berkata polis Perancis tidak mempunyai bidang kuasa menyiasat pramugara itu kerana jenayah yang didakwa dilakukan itu tidak berlaku di Perancis atau di ruang udara negaranya.
"Oleh kerana tiada kesalahan jenayah berlaku di bawah bidang kuasa Perancis, dia tidak patut disiasat di sana," katanya.
Serangan itu didakwa berlaku di atas kapal penerbangan Malaysia Airlines MH20 pada 5 Ogos dan pramugara itu ditahan pihak berkuasa Perancis sebaik tiba di Paris.
Penumpang Laura Bushney mendakwa, beliau menyerangnya secara seksual sebanyak dua kali semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Paris. Dia membuat laporan polis apabila sampai di lapangan terbang Charles de Gaulle.
Pada November, MAS mengesahkan pramugara itu dipecat walaupun pada hakikatnya dia masih belum didakwa atau dibicarakan atas insiden yang dikatakan itu.
Nufam sejak itu merujuk perkara itu kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan dan memohon pramugara itu dikembalikan ke jawatan asalnya.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bekas-pramugara-mas-kena-tahanan-rumah-di-paris#sthash.mKQU8DhW.dpuf 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive