Kumpulan Caliph Buskers ketika membuat persembahan dalam program Buskin Amal dan Majlis Kesyukuran di Mat Periuk Cafe, Ipoh, Perak, kelmarin. – Utusan/HANAFI KHAMIS
IPOH 30 Jan. – Kumpulan muzik orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Caliph Buskers mengakui tertekan dengan populariti mendadak yang mereka kecapi selepas muncul juara Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) baru-baru ini.
Vokalisnya, Khairul Azmi Mohd. Saat, menjadi popular secara mendadak juga boleh menyebabkan mereka agak keliru dan mengalami sedikit tertekan kerana perlu sentiasa membuat persembahan yang terbaik.
“Ya memang seronok apabila dikenali tetapi terlalu mendadak, sampai kami tidak tahu hendak bermula dari mana.
“Memang ada tekanan kerana apabila orang sudah kenal, kami kenalah buat persembahan yang lebih bagus,” katanya ketika ditemui dalam program Busking Amal dan Majlis Kesyukuran di Mat Periuk Cafe di sini, semalam.
Persembahan khas itu dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Kelab Busker Belia Malaysia (MUBC).
Sepanjang persembahan, kumpulan tersebut mendendangkan lima buah lagu dan lagu yang mereka nyanyikan semasa AJL29, Romancinta paling mendapat perhatian kira-kira 500 penonton yang hadir.
Sementara itu, pegawai YBUDR, Abdul Salim Putra Ahmad Shibi berkata, majlis kesyukuran turut diadakan sempena kejayaan kumpulan tersebut muncul pemenang Persembahan Terbaik AJL29.
Menurutnya, selain berhibur, penonton turut menghulurkan derma untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Hasil kutipan derma dalam majlis tersebut akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan menerusi YBUDR,” katanya.
No comments:
Post a Comment