JAKARTA: Mungkinkah ‘perang’ antara penyokong Presiden Joko Widodo (Jokowi) dengan agensi antirasuah Indonesia sedang berlangsung ekoran kegagalan bekas Gabenor Jakarta itu menaikkan calon ketua polis pilihannya?
Beberapa hari lalu Jokowi menamakan Budi Gunawan sebagai bakal Ketua Polis Indonesia menggantikan Jeneral Sutarman – yang sepatutnya terus berkhidmat sehingga sekurang-kurangnya Oktober ini.
Tindakan itu mengundang rasa tidak puas hati banyak pihak, terutama apabila mereka melihat pelantikan itu dibuat atas keinginan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan, Megawati Sukarnoputri.
Pada Selasa, Komisi Pembanterasan Korupsi (KPK) mengumumkan Budi sedang disiasat kerana disyaki menyalahgunakan kuasanya sebagai pegawai polis, selain kedudukan akaun banknya yang meragukan.
Pengumuman itu sekali gus mengganggu rancangan Jokowi melantik Budi sebagai Ketua Polis Indonesia.
Hari ini beredar pula gambar Ketua KPK, Abraham Samad dalam keadaan berkucupan dengan seorang wanita tidak dikenali, tetapi disebut-sebut seperti pemenang pertandingan Puteri Indonesia 2014, Elvira Devinamira Wirayanti.
Mengulas gambarnya, tokoh antirasuah yang tegas dan pernah disebut-sebut sebagai gandingan yang baik untuk Jokowi dalam pilihan raya presiden negara itu tahun lalu berkata, ia adalah rekaan digital yang dibuat untuk mengaibkannya.
“Selama ini pun ramai orang yang meminta saya bergambar dengan mereka,” katanya.
Menurut Abraham, ada kemungkinan gambar itu dicipta sebagai tindak balas kenyataannya mengenai Budi pada Selasa.
Namun, seorang pengamal aplikasi Photoshop, Agan Harapan berkata, gambar itu adalah asli.
“Jika ia direka, pembuatnya sangat hebat dan mahir.
“Pada anggapan saya, gambar Abraham itu diambil dari telefon bimbit kerana resolusinya rendah dan menyukarkan untuk diubah suai. Saya yakin 80 peratus gambar itu asli,” katanya.
1 comment:
Bapak Presiden, Salaam, lu mungkin sudah jolok sarang tebuan. Gue harap lu berhati hati lo, dan semuga berjaya.
Post a Comment