Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Koperal Sirul Azhar Umar (gambar bawah) berkata beliau hanya bertindak mengikut arahan, malah tidak pernah mengenali Altantuya Shariibuu dan percaya dalang sebenar pembunuhan itu masih bebas.
"Saya bertindak atas arahan. Orang penting yang mempunyai motif masih bebas," katanya seperti dilaporkan portal Malaysiakini.
Sirul berkata, beliau juga tidak pernah mengenali bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda.
Tertuduh yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan misteri model Mongolia itu dikatakan lari daripada hukuman gantung dan kini berada di Australia.
Katanya, beliau kini bersedia untuk mendedahkan perkara sebenar di sebalik pembunuhan wanita itu kepada media Australia, tetapi wawancara dengan stesen televisyen berkenaan belum dilakukan memandangkan dirinya masih berada dalam tahanan imigresen.
"Ya, saya pertimbangkan kemungkinan ini dengan serius," katanya.
Razak dalam temu bual bersama The Malaysian Insider pada Januari lalu berkata, pembunuhan Altantuya tidak membabitkan sebarang konspirasi dan tidak ada sebab untuk dipolitikkan.
Razak berkata, jika ada pihak yang mengatakan pembunuhan itu ada kaitan dengan konspirasi polis, maka banyak konspirasi lain akan muncul.
“Sebenarnya (kisah) pembunuhan ini sangat membosankan. Ia pembunuhan semata-mata, tetapi masih ada orang yang percaya polis tidak boleh melakukan ia tanpa arahan,” katanya.
Menyifatkan Sirul dan rakan setugasnya, Ketua Inspektor Azilah Hadri sebagai 'penyangak', Razak berkata 2 bekas anggota polis itu bertindak menurut kemahuan mereka sendiri ketika melakukan pembunuhan itu, sambil menambah, "ini yang diputuskan mahkamah".
"Hanya 2 anggota polis itu saja yang tahu. Polis yang penyangak memang bunuh orang, seperti dalam kebanyakan kes reman," katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul dan Azilah kerana bersalah membunuh Altantuya, 9 tahun lalu.
Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos, 2013 selepas mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Keterangan dalam mahkamah mendedahkan Altantuya dibunuh sama ada dengan bahan letupan C4 atau dibunuh terlebih dulu dan mayatnya dihapuskan pada 18 Oktober, 2006 di pinggir bandar Shah Alam, berhampiran ibu kota Kuala Lumpur.
Semasa perbicaraan, Razak yang juga rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan pertolongan Timbalan Superintenden Musa Safri kerana tidak tahan dengan gangguan daripada Altantuya.
Musa pada masa itu merupakan pembantu peribadi Najib, yang ketika itu timbalan perdana menteri.
Pada 23 Ogos, 2013 panel 3 hakim Mahkamah Rayuan membebaskan 2 anggota polis itu kerana kekurangan bukti.
Hakim Tengku Maimun Tengku Mat, yang membacakan keputusan berkata, mereka sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Hakim memutuskan kegagalan memanggil Musa adalah punca kekalahan kes pendakwaan itu.
Tengku Maimun mengingatkan episod buruk dan dahsyat itu bermula dengan permintaan Razak kepada Musa sebelum Azilah dan Sirul dilibatkan.
Pihak pendakwaan berkata tidak perlu memanggil Musa sebagai saksi kerana beliau hanya seorang sampingan dalam kes itu, dan afidavit Razak yang menyokong permohonan ikat jaminnya mendedahkan peranan pegawai kanan polis itu terhad kepada memperkenalkan beliau (Razak) kepada ketua polis Brickfields.
Malah Sirul, yang memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, berkata Musa tidak terlibat dan tidak memberi sebarang arahan.
Sirul juga merayu hakim agar tidak dikenakan hukuman mati itu.
"Saya kambing hitam yang harus dikorbankan untuk melindungi orang yang tidak dinamakan," katanya.
Azilah memberi notis alibi kepada pihak pendakwa mengatakan beliau tidak berada di lokasi kejadian jenayah, dan mengemukakan salinan diari stesen menunjukkan beliau berada di Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman pada masa kejadian.
Penghakiman menegaskan Azilah dan Sirul dikesan di hotel di mana Altantuya tinggal dan kedua-dua berada di luar rumah Razak pada malam dia hilang.
Mahkamah juga menerima keterangan maklumat yang membawa kepada penemuan apabila mereka secara sukarela membawa polis ke tempat kejadian yang terpencil itu.
Tambahan pula, Sirul tidak dapat memberi penjelasan berkenaan selipar berlumuran darah yang ditemui di dalam keretanya dan penemuan barang kemas di rumahnya. - TMI/MC
No comments:
Post a Comment