28 February 2015

Rakyat Juga Boleh Mohon Agong Bebaskan Anwar, Kata PKR


Foto:BernamaFoto:BernamaKUALA LUMPUR: Orang ramai boleh membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya mereka mahu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara, kata seorang pemimpin PKR.
Susulan penyerahan petisyen oleh keluarga Anwar kepada istana, memohon pengampunan diraja, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa berkata, rakyat juga boleh meluahkan hasrat mereka merayu kebebasan Anwar.
Katanya, mereka boleh menulis petisyen kepada Agong atau menyerahkan memorandum kepada Istana Negara.
"Mereka boleh buat begitu, anjurkan sesama mereka untuk melobi Agong. Hakikat yang petisyen (untuk pengampunan diraja) itu ada. Ini bukan lagi satu proses undang-undang.
"Proses pengampunan ialah di luar hak perundangan. Ia berdasarkan budi bicara Agong," katanya kepada pemberita selepas satu forum bertajuk 'Senario Selepas Pemenjaraan Anwar' di Pulau Pinang malam tadi.
Keluarga Anwar menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada Selasa, hari terakhir untuk mereka berbuat demikian selepas hukuman terhadap Anwar dijatuhkan pada 10 Februari.
Pengampunan diraja ialah satu-satunya cara Anwar boleh dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwatnya dan hukuman penjara 5 tahun terhadapnya dan ia perlu dilakukan dalam masa 14 hari selepas mahkamah membuat keputusan.
Sivarasa berkata, ramai orang yang membuat bantahan kepada Agong mengenai perkara seperti itu, merujuk kepada usaha membebaskan seseorang dari penjara.
Bagaimanapun, Agong mempunyai kata putus sama ada untuk memberikan pengampunan atau tidak, katanya.
"Contohnya, jika Lembaga Pengampunan mengatakan, jangan maafkan Anwar, Agong boleh kata baginda tidak bersetuju dan memutuskan untuk memberikan pengampunan. Baginda ada kuasa."
Beliau yang juga seorang peguam berkata, keadaannya berbeza dengan prosedur Lembaga Pengampunan di peringkat negeri.
"Lembaga Pengampunan Negeri lain. Mereka (sultan dan gabenor) perlu mengikut nasihat lembaga.
"Tetapi di Wilayah Persekutuan, lembaga itu dipengerusikan Agong sendiri," katanya.
Selain Agong, turut menganggotai Lembaga Pengampunan itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan tiga lain yang dilantik Agong atas syor perdana menteri.
Terdahulu semasa forum itu, ketika ditanya mengenai prosedur standard operasi (SOP) pengampunan diraja, Sivarasa berkata, pada pemahamannya tiada SOP berkenaan perkara itu.
Beliau berkata mereka melakukan sesuatu yang baru terutamanya dalam kes permohonan pengampunan Anwar, kerana ia difailkan keluarga Anwar dan bukan dirinya.
Katanya, tiada tempoh masa untuk keputusan dibuat bagi satu permohonan pengampunan dan mereka tidak tahu bila lembaga itu akan bertemu untuk membincangkan permohonan itu.
"Agong bahkan boleh memutuskan untuk tidak melayannya dan biarkan saja... kita benar-benar tidak tahu. Tetapi, saya percaya Agong akan berdepan pelbagai usaha melobi, termasuk daripada kami, masyarakat antarabangsa dan orang ramai.
"Secara umumnya, Tuanku Abdul Halim disanjung tinggi dan mempunyai reputasi yang baik sebagai berintegriti. Saya harap baginda akan melakukan perkara yang betul," katanya.
Sivarasa berkata, permohonan pengampunan itu bukan bermakna ia satu pengakuan bersalah Anwar, sepertimana diperkatakan di kalangan media dan didakwa Barisan Nasional.
Beliau berkata, keluarga Anwar menyatakan dalam petisyen pengampunan itu yang bapa mereka merupakan 'prisoner of conscience' (banduan teraniaya), sambil menambah tidak sepatutnya pihak tertentu membuat tafsiran sendiri mengenai perkara itu.
"Apa yang anda lihat dalam media arus perdana ialah propaganda," katanya.

- Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive