Showing posts with label egm. Show all posts
Showing posts with label egm. Show all posts

25 October 2009

Mesyuarat Khas ganti EGM - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nampaknya telah mengendur sikit tekanannya supaya PAS segera mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) tetapi kini hanya meminta diadakan Mesyuarat Khas sahaja.

Pendirian tok guru PAS ini berubah selepas Naib Presiden, Salahuddin Ayub mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Bharu semalam.

Oleh itu, katanya isu supaya diadakan EGM sudah tidak berbangkit lagi.

"EGM tidak berbangkit lagi. Semalam saya adakan pertemuan dengan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dan mendengar sendiri komen Tok Guru tentang PAS.

“Jadi kita akan mengadakan mesyuarat khas PAS pusat dalam masa terdekat ini. Nik Aziz sendiri yang memberitahu saya ketika pertemuan di Kota Baharu semalam," katanya.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz dalam blognya, www.bloktokguru.com mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang dilihat sebagai bermasalah iaitu sama ada masih bercakap soal kerajaan perpaduan ataupun bercakaran dengan rakan dalam Pakatan Rakyat. Kedua-duanya tidak digemari oleh Nik Aziz. Dan tiga pemimpin yang dinamakan dalam blognya ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.
Ditanya sama ada pemimpin yang dikatakan "bermasalah" itu ada menghubungi beliau, Salahuddin berkata mereka hanya mendiamkan diri.

"Tidak seorang pun menghubungi saya sejak blog itu memaparkannya (mengenai EGM)," kata Salahuddin.

Wajarkah EGM PAS diadakan?


OKT 25 — Bak kata orang tanpa ribut, tanpa taufan dan ketika tumpuan arena politik negara diberikan kepada perbalahan yang berlaku dalam MCA, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melakukan kejutan.

Beliau mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menentukan sama ada pemimpin PAS yang menyokong perpaduan dengan Umno diterima atau ditolak daripada parti itu.

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu telah mengejutkan banyak pihak malah penulis difahamkan tiga pemimpin yang dianggap oleh beliau harus “dibersihkan” terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali secara tiba-tiba menjadi sasaran “tembakan” Nik Abdul Aziz.

Beliau menyatakan perasaan sedih dengan tindakan pemimpin terbabit kerana tidak menghargai keputusan Muktamar Tahunan PAS di Ipoh, tahun lalu yang menolak kerjasama dengan Umno.

Apa pun sebagai Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz berhak memberikan pandangan tetapi persoalannya wajarkah EGM tersebut diadakan hanya semata-mata ada tanggapan bahawa terdapat usaha oleh ketiga-tiga pemimpin itu bekerjasama dengan Umno?

Seingat penulis isu kerjasama dengan Umno sudah lama tidak dibangkitkan oleh mana-mana pemimpin PAS selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini memutuskan untuk mengukuhkan kerjasama dalam pakatan pembangkang bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Justeru apabila muktamar itu berakhir, segalanya di dalam PAS dilihat “molek” dan cantik. Kesemua pemimpin PAS bersatu “turun ke padang” bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan.

Walaupun ketika itu, Nasharuddin dikatakan dilarang turun berkempen namun beliau akhirnya muncul dan kehadiran beliau dijadikan bukti oleh PAS bahawa tiada perpecahan berlaku dalam parti tersebut.

Malah sepanjang tempoh itu juga ketiga-tiga pemimpin yang dikaitkan turut tidak mahu menyentuh lagi soal sebarang kerjasama dengan Umno.

Berikutan itu, pelbagai pihak melihat bahawa tiada pergolakan dalam PAS, biarpun pada awalnya perpaduan di dalam PAS dikatakan agak tergugat berikutan sengit dalam pemilihan parti baru-baru ini. Dan keadaan itu diteguhkan lagi dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS di semua peringkat yang menganggap bahawa isu Pas bergolak atau berpecah hanyalah permainan media.

Tetapi kenyataan Nik Abdul Aziz boleh dianggap api dalam sekam yang semakin marak dan membuktikan hakikat selama ini bahawa sememangnya berlaku pergolakan secara senyap dalam PAS.

Namun begitu dalam keadaan sekarang, pemimpin dan ahli PAS tidak harus melatah. Mereka tidak perlu sewenang-wenangnya bersetuju dengan cadangan Nik Abdul Aziz itu. — Mingguan Malaysia


— zulkiflee-bakar @ TMI

- Harakahdialy tidak adil dalam melapurkan isu EGM

Nasha, Mustafa dan Hassan Ali perlu 'dibersihkan' - TGNA

'Tiada siapa jadi dalang'

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
dan RODELIO JUNJUN

KOTA BHARU 24 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan gesaannya agar kepimpinan Pas dibersihkan daripada golongan prokerajaan perpaduan didalangi oleh pihak yang berkepentingan.

Sambil mempertahankan pendiriannya, beliau menegaskan isu yang tercetus daripada apa yang dianggapnya sebagai cadangan itu diluahkan dengan ikhlas demi masa depan parti yang telah dipupuk sekian lama.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau sudah cukup arif untuk membuat pertimbangan sendiri dan yakin cadangan itu jika diterima tidak akan memecah-belahkan Pas.

''Saya dah tua, tak payah orang lain jadi dalang.

Saya nak jaga parti saya supaya dihormati sampai bila-bila," katanya ketika diminta mengulas desas-desus ekoran kenyataannya itu.

Ramai kalangan ahli Pas tidak percaya bahawa beliau membuat pertimbangan sendiri dalam mengemukakan gesaan itu melainkan dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Menurut Nik Abdul Aziz, tidak perlu lagi baginya untuk terus menjelaskan persoalan itu dan terserah kepada parti sama ada menerima atau tidak.
ramai yang tak setuju Muktamar Agung Khas (EGM) tak apa... saya keluarkan fikiran saya, kalau setuju, Alhamdulillah," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Masjid Noor Aini (Cahaya Mataku), Pasir Hor dekat sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz mahu Pas dibersihkan daripada kumpulan prokerajaan perpaduan melalui EGM walaupun ia mungkin menyebabkan parti berusia 58 tahun itu berpecah.

Nik Abdul Aziz menamakan tiga pemimpin yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Laporan media itu turut merujuk kepada kenyataan melalui blognya kelmarin yang dibuat setelah meneliti tulisan seorang pensyarah dan mendengar pandangan rombongan penyokong parti dari Sabah dan Sarawak yang mencemaskannya.

Ditanya apakah tiada pendekatan lain untuk menyelesaikan persoalan berbangkit, beliau berkata: ''Saya tak mahu buat benda lain, saya sebut sekali. Terima. Alhamdulillah, tak terima tak apa.. saya tidak memaksa.

''Saya nak jaga Pas saya kerana ia parti yang dihormati oleh masyarakat. Kalau ada orang (buat) itu ini, saya kena buat sesuatu. Saya ikhlas nak jaga parti yang saya bajai, airi dan pagar sekian lama."

Sehubungan itu, beliau menegaskan tiada sebab baginya untuk menarik balik kenyataan yang mengejutkan itu kerana menganggap ia suatu yang benar.

Beliau juga menafikan kenyataan yang dibuatnya itu sebagai langkah terakhir untuk menyiapkan kepimpinan sebelum melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

''Selagi umur saya ada, banyak lagi yang terakhir," ujarnya.

Menyentuh mengenai kemungkinan perubahan barisan kepimpinan melalui EGM tidak akan tercapai sekiranya perwakilan mahu mereka terus dikekalkan, beliau berkata:

''Saya tak perlu jawab, jawab yang ini timbul yang lain pula."

Namun beliau mengulangi bahawa sekiranya apa yang dimahukan tidak diterima oleh parti, ia tidak akan mengecewakannya kerana beliau cuma memberikan buah fikiran.

''Saya tak kecewa kalau orang tak terima... dalam dunia ini kalau nak kecewa, selama-lamanya kecewa," ujarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive