12 November 2008

Suraikan Himpunan BERSIH, DAP mahu Syed Hamid Mohon Maaf - malaysiakini

TERESA Kok menunjukkan dua foto yang beliau dakwa polis melayan dengan kasar ke atas Tony Pua dan Dian Abdullah, di lobi Parlimen hari ini. - foto The Star oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendesak supaya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengemukakan permohonan maaf kepada rakyat Malaysia kerana tindakan polis yang didakwa bertindak kasar ketika menyuraikan perhimpunan aman BERSIH di Petaling Jaya Ahad lalu.
"Oleh yang demikian kami mewakili 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar Menteri Dalam Negeri memohon maaf dengan segera.
"Selain itu kami juga mahu Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar bertanggungjawab dalam perkara ini," katanya.
Dalam perhimpunan tersebut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San serta 23 orang lagi ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam sidang itu juga Teresa turut membantah kekerasan yang dilakukan pihak polis sehingga menyebabkan kecederaan seorang wanita berusia 53 tahun.
"Kita lihat dalam kejadian itu seorang wanita berusia 53 tahun yang bernama Dian Abdullah dicederakan oleh beberapa anggota polis lelaki di bahagian belakang kepalanya.
"Adakah ini caranya mereka mengambil tindakan? Tidak ada seorangpun anggota polis wanita yang ditugaskan mengawal keadaan itu," katanya.
Tambah beliau polis sepatutnya menjalankan tugas mengikut prosedur yang sepatutnya terutamanya menggunakan khidmat polis wanita bagi mengendalikan kaum wanita.
Menurutnya lagi tindakan polis mengarahkan kira-kira 200 penyokong BERSIH yang hadir pada malam itu bersurai sewaktu mereka sedang menyanyikan lagu Negaraku adalah amat tidak wajar.
Hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah wakil NGO, Haris Ibrahim yang turut menuntut kerajaan negeri Selangor menyokong perhimpunan aman anjuran BERSIH yang akan diadakan setiap ahad bermua 16 November depan.
"Kita akan teruskan perhimpunan tersebut setiap Ahad sehingga semua tahanan ISA dibebaskan dan ISA dimansuhkan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mempertahankan tindakan polis pada hari kejadian.
"Saya bertanggungjawab untuk menjalankan tugas tanpa rasa bimbang dan pilih kasih, dan keutamaan saya ialah keselamatan dan keprihatinan terhadap ketenteraman awam dan juga peniaga-peniaga yang melahirkan kebimbingan tentang kemungkinan gangguan.
"Tidak boleh dinafikan bahawa kemungkinan ada pihak yang mengambil kesempatan dengan keadaan semasa sambil menyebabkan kekacauan," kata beliau sambil menambah tiada permit diperoleh untuk mengadakan perhimpunan sepanjang empat minggu yang lalu.
Semalam, Syed Hamid berkata, tindakan polis menyurai satu perhimpunan haram dan menahan mereka termasuk tiga pemimpin pembangkang adalah sebahagian daripada tugas memastikan ketenteraman awam terpelihara.
Dalam situasi seperti itu, katanya, polis perlu bertindak untuk mempertahankan peraturan dan undangundang bagi memastikan ketenteraman awam diberi keutamaan.
Syed Hamid berkata, beliau belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian itu.
"Sekiranya anda ada melakukan sesuatu perkara dan polis mengambil tindakan maka jika anda tidak berpuas hati dengannya, berikan maklumat secara spesifik kepada saya dan saya akan memeriksanya," kata Syed Hamid. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive