02 December 2008

PRK KT: SPR terima notis, mesyuarat khas Jumaat ini

Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil Kuala Terengganu.
"Mesyuarat khas ini akan menetapkan tarikh mengendalikan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang kosong," kata Pemangku Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online, sebentar tadi.
Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil tersebut akan diadakan pada tahun ini juga, Wan Ahmad berkata: "Biar kami putuskan pada mesyuarat itu nanti."
Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini memberitahu notis kekosongan bagi kerusi Parlimen tersebut telah pun dihantar ke SPR.
"Ia (notis) telah pun dihantar sebentar tadi," katanya ringkas.
Kerusi Parlimen Kuala Terengganu kosong setelah penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia pada Jumaat lalu kerana serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.
Pada pilihan raya umum lepas Mac lalu, Razali berjaya mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenanginya sebelum itu pada 2004, dengan mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu, dengan majoriti 628 undi.
Pertandingan itu merupakan tiga penjuru yang turut membabitkan seorang calon bebas Maimun Yusof, 89, yang hilang wang pertaruhan selepas hanya memperoleh 685 undi. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive