05 June 2009

Kekalkan Kegemilangan Pakatan Rakyat untuk berhadapan dengan UMNO BN

Oleh: Harun Jaafar

Kejayaan gemilang Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai oleh PKR, DAP, dan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU Ke-12) berpunca daripada sokongan kuat kaum bukan Melayu (Cina dan India) serta pengundi-pengundi muda.

Perpindahan sokongan itu disebabkan oleh kegagalan Barisan Nasional (BN) mengekang rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme, nepotisme, dan kenaikan harga barang, terutamanya bahan bakar.

Hal-hal tersebut telah membuatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap BN. Hasilnya lima buah negeri, iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan Selangor jatuh ke tangan PR. PR juga menguasai Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kemenangan terus berpihak kepada PR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijalan selepas PRU Ke-12. PRK yang dimaksudkan ialah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Air, dan Penanti. Hanya Batang Air yang dimenangi oleh BN. Peristiwa yang paling memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah ialah keengganan BN meletakkan calonnya di Penanti kerana tidak sanggup menanggung kekalahan berganda.

BN memberi alasan tidak perlu menyertainya kerana PR berbuat demikian untuk menyelesaikan masalah dalamannya. Sebab ini ternyata tidak benar kerana BN sendiri pernah melakukan hal yang sama di Terengganu, Johor, dan Selangor. Kewujudan tindakan-tindakan itu juga menangkis alasan kedua yang diberikan oleh BN, iaitu membazirkan wang rakyat. Merekalah yang selama ini membazirkan wang rakyat setiap kali PRU dan PRK diadakan.

BN juga memberi alasan tidak mahu terperangkap dengan permainan politik PR dan memberi tumpuan kepada memulihkan ekonomi negara. Kenyataan-kenyataan ini juga dapat ditangkis dengan mudah.

BN sudah banyak kali berjaya diperangkap oleh PR. BN terperangkap dengan mainan politik PKR di Permatang Pauh dan Bukit Selambau. Mereka diperangkap oleh projek 16 September yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim. BN memperlihatkan tanda-tanda cemas ketika menghadapi projek tersebut dan sehingga kini masih lagi terperangkap dengan kegopohan Najib merampas kuasa di Perak. Dosa ini akan membawa melonjakkan padah kepada BN pada masa depan. Sama-samalah kita saksikan bentuk balasan dari Tuhan atas kemungkaran ini.

Alasan untuk memberi tumpuan kepada kegawatan ekonomi nampaknya sengaja diada-adakan. Hakikatnya, Bank Negara telah mengeluarkan kenyataan tentang kedudukan ekonomi negara yang menguncup pada suku pertama tahun 2009. PR berjaya memulangkan paku buah keras kepada Najib. Penafian Najib tentang Malaysia tidak akan terkena tempias kegawatan ekonomi hanyalah satu mitos.

Setelah lebih setahun memerintah, PAS telah berjaya menarik sokongan kaum Cina dan India dalam Kelab Penyokong PAS (KPP). KPP pada masa kini dianggotai oleh lebih daripada 80,000 orang ahli. Kejayaan ini merupakan petanda buruk kepada UMNO yang terus-terusan menjadi parti perkauman yang sekular. Kejayaan gerakan dakwah PAS telah menyebabkan non-Muslim di Malaysia mulai mengenal kemurnian Islam. UMNO langsung tidak mengambil endah tentang hal ini.

Kerajaan PR di Selangor telah berjaya memberi air percuma kepada rakyat. Di samping itu, sedang berusaha gigih merakyatkan ekonomi Selangor. Begitu juga dalam bidang-bidang perindustrian, pendidikan, dan perkhidmatan di semua kawasan DUN. Kerajaan PR Pulau Pinang telah berjaya menghapuskan kemiskinan tegar. Pendapatan keluarga miskin tegar ini telah ditingkatkan dari RM400.00 ke RM500.00 sebulan. Kejayaan ini telah memalukan UMNO Terengganu yang tidak mampu memadam kedudukan kedua tertinggi jumlah miskin tegar di Malaysia walaupun negerinya kaya raya.

Walaupun PAS menghadapi masalah kekurangan dana untuk melaksanakan tanggungjawab, tetapi berkat sokongan ahli-ahli mereka berupaya mendirikan PASTI untuk mendidik kanak-kanak. Di samping itu, kerajaan PAS Kelantan berjaya melahirkan sekolah-sekolah menengah agama yang berkaliber. PR Selangor bukan sahaja berjaya mentadbir kolej malahan juga beberapa IPTN seperti UNISEL, KUIS, dan lain-lain.

Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, tidak ada halangan besar untuk PR muncul sebagai gabungan alternatif bagi mengambil tampuk pemerintahan daripada BN selepas PRU Ke-13. Keeratan hubungan antara PKR, DAP, dan PAS mampu merealisasikannya.

PR perlu bersikap realistik dengan menerima kritikan membina daripada rakyat supaya mampu menarik sokongan rakyat pelbagai kaum di Malaysia untuk tempoh yang relatif lama, termasuk di Sabah dan Sarawak. -- utara online

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive