04 August 2009

Himpunan Anti ISA Najib Altantuya - Mesej menepati sasaran



Oleh Samsuri Roslan

KUALA LUMPUR, – Dua malam sebelum menjelang hari perhimpunan mansuhkan ISA di ibu kota, kami bersama beberapa rakan bersantai di salah sebuah kedai makan di Kelang. Ketika malam semakin larut, kami terserempak dengan sekumpulan tujuh-lapan anak muda yang turut mengunjungi kedai makan tersebut.

Dengan penuh semangat, mereka duduk bersebelahan dengan meja kami. Beberapa orang di antara mereka memakai T-Shirt berwarna kuning yang tertera tulisan ‘BERSIH’ dan juga lambang mansuhkan ISA.

Peristiwa ini pernah kami alami sepuluh tahun lalu. Di sebuah kedai makan di Temerloh, Pahang juga terserempak kumpulan anak muda yang bakal berhimpun di Ibu Kota semasa era reformasi yang menjadi slogan kepada perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan ini yang dikenali sebagai akar umbi anak muda PAS sememangnya gigih dalam perjuangan. Majoriti mereka menggunakan wang dan kenderaan sendiri jika diperlukan oleh pimpinan tertinggi parti untuk melakukan sebarang aktiviti.

Semasa Perhimpunan Pemilihan Agung Umno pada Mac lalu, beberapa calon Ahli Majlis Tertinggi Umno pernah menyuarakan isi hati mereka mengenai anak muda PAS berbanding Umno.

Mereka memberitahu, bagaimana pergerakan Pemuda Umno Malaysia berperanan berhadapan dengan anak muda PAS dan Pakatan Rakyat yang lebih selesa dengan wang ringgit berbanding dengan kumpulan anak muda pembangkang ini.

“Bagaimana pimpinan Pemuda Umno di pelbagai peringkat begitu kental dengan perjuangan jika mereka menang dengan menggunakan wang ringgit . Begitu juga jika mahu mengadakan apa juga aktiviti turut mengunakan wang ringgit. Jika tidak ada wang, maka tiada lah aktiviti,” kata seorang calon Majlis Tertinggi Umno dari Kedah yang tewas dalam pemilihan tersebut.

Dia bersama dengan beberapa rakan lainnya akui bahawa kepemimpinan pemuda Umno sudah kekurangan idealisme perjuangan terutamanya di era kepemimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menjelang 1 Ogos lalu, kira-kira jam 10 pagi seorang rakan dari Kuala Selangor terkejut apabila jalan raya yang menghala ke Klang dan Ijok sesak secara tiba-tiba. Sekatan jalanraya telah diadakan di hadapan Petronas, Sungai Buluh, Kuala Selangor dengan kehadiran pegawai polis dari pelbagai jabatan.

Kereta dan van yang mempunyai lebih daripada dua penumpang terutamanya dari kalangan anak muda akan ditahan serta merta. Segala kereta akan diperiksa termasuk membuka bonet belakang.

Semasa lalu di hadapan sekatan tersebut, rakan sempat bertanya kepada pegawai polis terbabit. “Siapa yang ditahan tuan, Pro atau Kontra? “

“Dua-dua sekali...,” kata pegawai tersebut sambil memberi laluan.

Pada sebelah tengahari, keadaan sedikit lengang di Pasar Seni. Penuh dengan pasukan polis di setiap lorong. Mereka akan terus menyapa dan meminta surai serta merta jika terdapat kumpulan anak muda yang mahu bersembang walaupun tidak terbabit dalam perhimpulan ini.

Sebelum ini, 83 NGO yang bersama GMI (Gerakan Mansuh ISA) sudah mengumumkan kedudukan mereka akan berhimpun di pusat membeli belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Sementara Pewaris (Majlis Permaukatan Ummah) yang mengandungi 12 NGO Melayu pula akan berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok.

Mereka kemudian akan ke Dataran Merdeka di mana akan menandatangani sepanduk sepanjang 200 kaki sebelum berarak ke Istana Negara. Begitu juga dengan GMI yang akan menyerahkan memorendum ke Istana Negara. Pihak GMI dan Pewaris berjanji perhimpunan secara aman walaupun mereka tidak mendapat kebenaran atau permit dari pihak berkuasa.

Sebelum ini juga ada khabar angin yang mengatakan hampir 50,000 orang bersama Pewaris akan hadir dalam Perhimpunan tersebut. Sementara Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi pula memberitahu sekurang-kurangnya 30,000 pemuda PAS seluruh negara akan hadir.

Suatu yang terlintas di kepala adalah kemungkinan akan berlaku pertembungan di Masjid Negara – kawasan yang sama antara GMI-Pewaris. Sudah terbayang berlaku pertembungan tiga penjuru- kumpulan GMI, Pewaris dan Pasukan Keselamatan.

Bagaimanapun situasi ini tidak menjadi kenyataan.

Walau apapun alasan, perhimpunan dari kumpulan Pewaris sememangnya kurang sambutan. Apakah kumpulan mereka tersekat di jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan sebelum sempat memasuki ibu kota yang mana tujuh atau lapan jalan utama ke ibu kota sudahpun diadakan ‘road-block’ polis.

Atau mereka masih belum mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan pasukan keselamatan? Atau mungkin juga arahan dari pimpinan supaya tidak menghadiri perhimpunan tersebut?

Bagaimanapun sebelum sempat berkunjung ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, keaadaan sudah menjadi “kucar-kacir”. Polis sudah mengambil tindakan dan kumpulan dari GMI berpecah melarikan diri. Seorang rakan wartawan telah kehilangan kamera bernilai RM16,000 semasa dia berada di lokasi tersebut.

Kelihatan polis telah menangkap beberapa individu lelaki dan perempuan untuk dibawa ke lori. Sekurang-kurangnya 589 telah ditahan termasuk 40 remaja dan beberapa orang pimpinan dari Pakatan Rakyat. GMI dan Pewaris gagal untuk menyerahkan memorendum ini ke Istana Negara.

Melalui pengalaman, walaupun pelbagai pihak memberi jumlah individu yang hadir namun ia masih belum ramai jika di bandingkan dengan era reformasi 1998 lalu dan konsert Allahyarham Sudirman Haji Arshat di Jalan Chow Kit satu ketika dahulu.
Bagaimanapun yang pasti mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat dalam dan luar negara telah menepati sasaran. Samada positif atau pun negatif ia akan diketahui dalam Pilihan Raya Umum ke -13 akan datang. Bagaimanapun yang hampir sekali adalah dalam pilihan raya kecil Dun Permatang Pasir. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive