04 August 2009

Pertanyaan kepada Najib Altantuya - Salahkan berhimpun?



OGOS 4 — Sebahagian rakyat Malaysia masih memandang serong pada perhimpunan aman. Kononnya, ia dilihat sebagai budaya rakyat Malaysia yang emosional dan berfikir pendek.

Pada asasnya, saya berpendirian menolak sebarang usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Anarki. Tiada kompromi.Namun, benarkah berhimpun sebagaimana semalam boleh membawa Malaysia ke arah sebuah negara Anarki — negara yang kacau bilau dan tidak berperaturan.

Kononnya, pelabur tidak akan datang, FDI akan jatuh, peluang pekerjaan akan berkurangan dan ekonomi negara akan merudum. (Frasa dan ayat-ayat ini biasa dimomokkan dalam kursus BTN.)
Sejujurnya, saya bukanlah orang yang berminat dengan perhimpunan atau ‘demonstrasi’. Selalu juga disindir oleh teman-teman sewaktu menjadi pimpinan pelajar dulu kerana jarang turun berhimpun atau berdemonstrasi. Walaupun kurang berminat, saya tidak menafikan perlunya berhimpun.

Kita harus jujur dalam membuat penilaian.Salahkah berhimpun? Pendek akalkah orang-orang yang berhimpun sebagaimana prasangka kita?

Benar, kita boleh menyalahkan mereka yang berhimpun jika ia dilakukan terlaku kerap.Setiap bulan misalnya. Tidak dinafikan, kesesakan jalanraya akan berlaku, perniagaan ada yang terpaksa ditutup dan sudah tentu keheningan hujung minggu juga terganggu. Namun mereka berhimpun sekadar dua tiga kali setahun. Besar sangatkah impak kepada aktiviti ekonomi negara jika 2 atau 3 hari daripada 365 hari digunakan oleh segelintir rakyat untuk berhimpun menyatakan sesuatu kepada kerajaan?

Mereka yang berhimpun bukanlah untuk suka-suka atau mahu menghuru-harakan negara. Janganlah disamakan rakyat Malaysia pada masa ini dengan rakyat Malaysia pada 40 tahun lalu dalam Tragedi 1969, ataupun rakyat Singapura/Malaysia yang terlibat dalam Rusuhan Natrah pada 1950.

Rakyat Malaysia pada masa ini sudah ramai berpendidikan tinggi dan cerdik-cerdik. Zaman telah banyak berubah,saya yakin tiada siapa yang tidak sayangkan nyawa. Memang bodoh bagi sesiapa yang berhimpun untuk kehilangan nyawa. Mereka sudah tentu berhimpun kerana bersebab. Jika tidak, lebih baik bersantai di rumah bersama keluarga.

Pengalaman menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI dulu cukup mengharukan. Polis terbukti menjadi punca perhimpunan bertukar ganas. Mereka melepaskan gas pemedih mata dengan membabi buta. Apa salahnya dibiarkan peserta berhimpun dan menuju ke Istana Negara? Saya tidak nampak sebarang senjata yang mereka bawa dan aliran trafik pun tidak tersekat walaupun sedikit terganggu.

Namun tindakan polis(FRU) langsung tidak berperikemanusian. Mereka langsung seperti alat kerajaan yang tidak mampu berfikir. Merekalah punca kekasaran fizikal dan gangguan trafik yang parah.

Kebiasaannya, perhimpunan yang dilakukan bukanlah langkah pertama atau usaha awal dalam perjuangkan sesuatu. Ia adalah jalan terakhir. ISA telah dikecam sejak 49 tahun sejak ia digubal pada 1960. Pelbagai wacana akademik, penulisan, disertasi,tesis, memorandum, referandum dan sebagainya yang berkaitan ISA dibuat semata-mata untuk membantah perlaksanaannya di Malaysia. Namun adakah ia berkesan?

Kerajaan masih juga tanpa segan silu menyalahgunakan ISA.

Kita akui bahawa ISA mampu menyelesaikan beberapa ancaman berkaitan keselamatan negara dan kita memang memerlukan akta yang berupaya mencegah ancaman dalaman. Namun, kerajaan Barisan Nasional/Perikatan semenjak 1960 tanpa pernah rasa bersalah telah menggunakan ISA untuk menahan ahli-ahli politik khususnya pembangkang, aktivis masyarakat dan juga orang awam yang tidak berkaitan.

Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Chandra Muzaffar, Halim Arshat, Karpal Singh, Maximus Ongkilli, Teresa Kok adalah antara ahli politik dan aktivis masyarakat yang pernah merengkok. Berbahayakah mereka? Apa ancaman mereka kepada keselamatan negara?

Banyak cadangan yang lebih waras untuk diambil dalam membantah ISA. Namun, akan pedulikah kerajaan?

Kerajaan khabarnya akan mengkaji semula ISA. Ia satu permulaan yang baik jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu berubah.

Membantah ISA bukan bermaksud kita tidak mahu akta pencegahan yang mampu menjaga keselamatan dalaman negara kita. Namun, bantahan ini diharapkan agar mampu mendesak kerajaan supaya sekurang-kurangnya meminda peruntukan tertentu yang membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.

Membantah ISA juga bukan bermaksud kita membenci apatah lagi mahu menyusahkan kerajaan. Sebaliknya kita mahu supaya suara insan yang menderita akibat ISA didengari dengan lebih kuat oleh pemimpin kerajaan yang kita kasihi itu.

Kita tidak merasa menderita kerana kita tidak berada di tempat orang-orang yang sedang menderita itu. Cubalah memahami - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive