24 September 2009

Ramai pemimpin UMNO Najib Altantuya tidak insaf

oleh Rejal Arbee

SEPT 24 — Kedudukan Umno yang masih belum selesa nampaknya tidak langsung memberi keinsafan kepada sesetengah ahli dan pimpinannya lebih-lebih lagi bagi mereka pada peringkat bahagian dan cawangan. Percakaran untuk mendapatkan tempat dan pengaruh masih menjadi pegangan dan perjuangan mereka ini tanpa menghiraukan apakah tindak-tanduk demikian itu tidak akan menambahkan lagi kemerosotan sokongan terhadap parti yang kini dikatakan sudah semakin tidak disenangi ramai itu.

Kewujudan puak-puak yang membawa kepada percakaran tidak berkesudahan hingga membuatkan orang Melayu semakin meluat melihat gelagat begini. Malangnya, kedudukan Umno sekarang yang terus tergugat, masih tidak memberi kesedaran kepada mereka ini bahawa Umno sedang menghadapi suatu keadaan yang amat mencemaskan.

Walaupun sokongan ramai terhadapnya semakin merosot seperti dibuktikan pada Pilihan Raya Umum, Mac tahun lalu dan disahkan kembali dalam semua lapan pilihan raya kecil di Semenanjung sejak itu, yang mana tidak satu pun kerusi dimenangi BN, golongan ini masih leka dengan gelagat sendiri.

Sungguh malang bagi Umno masih wujud antara pemimpinnya yang terus tidak sedar diri. Yang penting bagi mereka ini ialah kedudukan sendiri tanpa menghiraukan apakah tindak-tanduk itu tidak akan diperlekehkan lagi pandangan ramai khususnya Melayu terhadap parti yang ramai menganggap sudah melampaui had usianya.

Maka itulah kewujudan dua kelompok yang terus bercakaran dalam Umno Negeri Sembilan, mengikut seorang tokoh veteran parti itu, lebih-lebih lagi dalam soal pemilihan calon untuk pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang bulan depan perlu ditangani segera. Pemilihan seorang daripada satu kelompok tentunya akan membawa kepada penentangan kelompok bertentangan. Ini tentunya akan membawa padah kepada parti itu.

Jika demikian halnya apakah tidak lebih baik bagi Umno memilih seorang yang tidak terikat dengan mana-mana pun kelompok itu? Dalam pada itu jangan pula berlaku yang mana sekali pun yang dipilih boleh mengekalkan kerusi itu tetapi persepsi ramai terhadap Umno terus merosot malah perasaan meluat terhadap Umno terus saja meluap.

Persepsi demikian perlu dihapuskan dengan Umno berusaha untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadapnya. Elok sangatlah kiranya calon yang akan dipilih itu nanti adalah seorang yang bukan saja berwibawa malah dihormati dan dapat pula diterima pengundi serta boleh bekerja untuk rakyat seperti diharapkan ramai.

Seperti dinyatakan seorang lagi pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya Umno terus saja mengemukakan calon yang tercemar dan berperwatakan tidak jujur dan terbabit pula dengan pelbagai gejala tidak sihat, maka tentunya rakyat tertanya-tanya apakah Umno sudah tandus pemimpin lurus dan berwibawa?

Jangan pula sampai ke tahap orang ramai menganggap Umno sudah tidak boleh dipercayai lagi dan pemimpinnya pula tidak tertakluk kepada kehendak murni yang mana kejujuran, berwibawa, bermoral sudah tidak lagi jadi pegangan mereka walhal sifat-sifat mulia ini dikehendaki wujud di kalangan rakyat dan negara saja. Majoriti rakyat tidak boleh diselindungi lagi daripada tindak-tanduk yang tidak menyenangkan itu.

Ramai mengetahui Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP memenangi pilihan raya ke-12 Mac 2008 lalu bukanlah atas dasar rakyat secara keseluruhannya menyokong mereka tetapi kerana rakyat sudah mual dengan gelagat dan tindak- tanduk pemimpin Barisan Nasional, khususnya Umno, MCA dan MIC.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive