KUALA LUMPUR, Dis 5 — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam reaksi pertama berhubung dakwaan terbaru bahawa adiknya, Datuk Mohamed Nazim telah memaksa penyiasat persendirian, P Balasubramaniam agar menarik balik akuan bersumpahnya menyifatkan ia sebagai tidak berasas dan tidak akan melayan kenyataan-kenyataan semberono.
“Saya tidak akan melayan dakwaan-dakwaan yang semberono,” kata beliau ringkas.
Terdahulu Najib yang juga Presiden Umno mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang pertama selepas kembali dari luar negara.
Dakwaan itu dibuat dalam siri laporan sebuah portal yang menemu bual Balasubramaniam di luar negara baru-baru ini. Ia disiarkan bulan lalu.
Dalam wawancara tersebut, Balasubramaniam mendakwa Nazim dan beberapa individu lain bertindak sebagai proksi Najib bagi memaksanya menarik balik akuan bersumpah pertamanya.
Dia juga mendakwa ditawarkan RM5 juta oleh Nazim dan individu lain yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Balasubramaniam kini dikatakan berada di luar negara sejak mengeluarkan akuan bersumpah kedua, yang secara langsung menafikan kandungan akuan bersumpah pertama.
Akuan bersumpah itu mengandungi dakwaan yang Najib mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, di mana Najib telah menafikannya banyak kali sebelum ini.
Ekoran pendedahan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meminta bantuan Parti Keadilan Rakyat untuk mencari penyiasat persendirian Balasubramaniam dan membawanya ke pejabat suruhanjaya tersebut.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam.
Beliau berkata, SPRM memintanya berbuat demikian secepat mungkin.
Shamsul Iskandar telah disoal oleh SPRM selama dua jam di Putrajaya pagi semalam sebagai susulan laporannya kepada SPRM terhadap Mohamed Nazim dan Deepak, seorang yang personaliti yang didakwa terlibat dalam isu itu, tiga hari lalu. - The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment