15 January 2010

Tiada asas untuk mendakwa Dr Pornthip


Dr Pornthip tidak didakwa kononnya bocor laporan forensik Teoh

SHAH ALAM, Jan 15 — Peguam Negara telah memutuskan tidak akan mendakwa ahli patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rajanasunand berhubung dakwaan membocorkan maklumat laporan forensik mendiang Teoh Beng Hock kepada sebuah akhbar tabloid tempatan.

Peguam Tan Hock Chuan memberitahu Koroner Azmil Muntapha Abas, yang sedang mendengar inkues mengenai kematian Teoh, berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah pun meneliti kertas siasatan yang diserahkan oleh polis semalam dan mendapati tidak terdapat bukti kukuh bagi menyokong dakwaan itu.

Dr Pornthip (gambar) juga tidak akan dihalang daripada memberi keterangan dalam prosiding inkues itu selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberikan jaminan tidak akan menahan atau mengganggu saksi itu.

“Dalam keadaan itu, Peguam Negara berpendapat tiada asas untuk mendakwa Dr Pornthip atas tuduhan itu,” kata Tan yang bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia dalam inkues berkenaan.

Tan menjelaskan perkara itu di hadapan Azmil Muntapha pagi ini sebelum mahkamah mendengar prosiding menghina mahkamah terhadap dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat laporan polis terhadap Pornthip pada 1 Jan lalu.

Dua pegawai SPRM berkenaan, Raub Ghani, 41, dan Hisyam Mohd Yusoff, 30, telah membuat laporan polis berhubung artikel bertajuk “Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh” yang disiarkan akhbar Suara Keadilan pada 29 Dis, 2009.

Berikutan itu, abang mendiang, Teoh Meng Kee mendakwa laporan polis itu sengaja dibuat bagi menakut-nakutkan dan mengugut Dr Pornthip daripada memberi keterangan berhubung bedah siasat kedua ke atas Beng Hock, dan memohon mahkamah mengadakan prosiding menghina mahkamah terhadap pegawai itu.

Meng Kee memfailkan notis usul menghina mahkamah itu melalui peguamnya Karpal Singh pada 5 Jan lepas, dan hujah berhubung isu itu ditetapkan untuk didengar hari ini.

Dalam prosiding hari ini, Koroner Azmil menyarankan supaya prosiding menghina mahkamah tersebut tidak diteruskan setelah pihak Peguam Negara dan Ketua Polis Negara memberi jaminan tidak akan mendakwa atau menahan Dr Pornthip daripada hadir ke mahkamah dan memberikan keterangan.

Bagaimanapun Karpal membantah atas alasan Raub tetap perlu dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana pegawai itu telah dengan sengaja membuat laporan polis yang tidak berasas dan palsu.- TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive