KUALA LUMPUR, 6 April — Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) menegaskan tiada mana-mana pihak - sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ataupun ahli politilk termasuk Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Noh Omar berhak untuk menghalang daripada membuat pemantauan perjalanan pilihan raya.
Bagaimanapun Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh berkeyakinan kerjasama baik sedia terjalin antara pihaknya dengan SPR akan berterusan untuk melihat perjalanan pilihan raya bebas dan adil bagi semua.
“Apa yang dikatakan oleh Datuk Noh adalah hak beliau dan kami pun ada hak untuk memberikan pandangan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Semalam Noh menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya atas alasan ia menjadi alat kepada parti pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya dan tidak layak dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar menyalankan peranannya.
Noh berkata Mafrel sepatutnya menegur kedua-dua sekali, bukan hanya Barisan Nasional kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat juga mengagihkan geran tanah kepada penduduk tetapi tidak ditegur.
Beliau mempertikaikan kredibiliti Mafrel yang menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor yang didakwanya menyalahi peraturan pilihan raya.
Sehubungan itu jelas Syed Ibrahim, Mafrel telah menjalankan peranannya sejak 2001 termasuk pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 dan siri pilihan raya kecil.
“Kami memantau dari luar dan dari dalam lingkungan hari pilihan raya. SPR mengiktiraf kami dan meminta kami memantau pada hari pengundian.
“Jadi kami membuat kerja sepanjang masa dan dari dalam ketika hari pengundian. Apa yang tidak betul kami tegur dan laporkan dan apa yang baik kami kata baik,” katanya.
Oleh itu tegas beliau, Mafrel tidak terikat dengan mana-mana pihak.
“Lagi pun tiada perjanjian dengan SPR, cuma ada pengiktirafan.
“SPR tidak ada hak untuk (menghalang) dari membuat pemantauan, cuma diiktiraf (oleh SPR) untuk membuat pemantauan pada hari pengundian,” katanya.
Syed Ibrahim menambah, Mafrel bukan badan politik ataupun ejen SPR tetapi sebuah badan bebas yang mengutamakan elemen semakan dan imbangan dalam proses perjalanan pilihan raya.
MENYUSUL LAGI
No comments:
Post a Comment