15 November 2010

PAS Selangor pula pelawa UmNO sertainya

Oleh Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 15 Nov – PAS Selangor pula mempelawa Umno negeri menyertai parti tersebut daripada terus mengajak agar komponen Pakatan Rakyat itu menjalin kerjasama dengannya bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Ghazali membuat pelawaan ini menjawab pendirian Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang terus mengajak PAS agar menyertai BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

“Ahli-ahli Umno dan pimpinan Umno meninggalkan wadah perjuangan mereka yang usang itu dan bersama PAS dalam mengejar cita-cita perubahan dan kebaikan buat umat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Arus perubahan ini, syaratnya mereka perlu bersama PAS dan Pakatan Rakyat,” jelas Roslan.

Ekoran itu, Roslan menganggap pelawaan Ahmad itu sebagai sesuatu yang janggal bagi PAS negeri.

“PAS Selangor merasakan janggal apabila Datuk Ahmad mempelawa PAS menyertai BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat,” jelas Roslan.

Dalam pada itu, Roslan berkata Umno negeri sepatutnya menyertai Pakatan Rakyat sekiranya pemimpin serta akar umbi parti itu ikhlas memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

“PAS Selangor menawarkan agar ahli-ahli Umno termasuk pimpinan mereka berfikir semasak-masanya dan menginsafi bahawa untuk maju ke hadapan PAS lah alternatif terbaik untuk mereka.

“Inilah masanya demi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negera,” kata beliau yang merujuk kepada seruan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya PAS menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Tambah Roslan, Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali telah pun menggerakkan jentera pilihan raya parti agar saki baki kerusi Umno di negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu berupaya diganti oleh wakil rakyat PAS kelak. - The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive