21 March 2011

DNA : Dakwa Najib ke Mahkamah - Karpal

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hendaklah didakwa atas tuduhan menghina mahkamah, kata ketua pasukan peguam bela perbicaraan Fitnah II, Karpal Singh.

Menurut Karpal, tuntutan itu berikutan campur tangan Datuk Seri Najib Razak
kerana memberi komen berkaitan kes ini dengan meminta Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA beliau.

Karpal membuat permohonan tersebut semasa membentangkan hujah balasnya bagi menolak permohonan pendakwa minggu lepas untuk mahkamah menyemak semula penolakan tiga barang sebagai bukti termasuk permohonan mereka yang mahu Anwar menyerahkan sampel DNAnya.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamad Zabidin Mohd Diah hanya berpura-pura tidak mendengar permohonan Karpal dan meminta Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden untuk memberikan hujah balasnya terhadap pembentangan Karpal pagi ini.

Menurut Mohd Yusof, DNA adalah elemen paling hampir dengan cap jari manusia yang unik.

Atas alasan itulah katanya, pendakwa raya memohon mahkamah untuk mengarahkan Anwar memberikan DNA beliau.

Karpal membalas kenyataan Mohd Yusof dan berkata bahawa Akta Bukti belum lagi dipinda untuk memasukkan DNA sebagai salah satu perkara yang boleh didapatkan di mahkamah tanpa izin tertuduh.

Mohamad Zabidin berkata, beliau tidak dapat memberikan keputusan hari ini dan hanya akan berbuat demikian Rabu ini.

“Amat jelas saya tidak dapat memberikan keputusan hari ini. Saya memerlukan masa untuk meneliti perkara ini.

“Jika peguam bela berpendapat piahk anda mempunyai kes, anda boleh memfailkannya kepada unit pengurusan di mahkamah,” kata Mohamad Zabidin.

Terdahulu, Karpal berkata, peguam bela tidak mempertikaikan bahawa keputusan bicara-dalam-perbicaraan boleh disemak semula.

Namun, katanya dakwaan Anwar bahawa beliau ditahan secara tidak sah tidak pula dicabar pendakwa raya sebelum ini.

“Seksyen 62 Akta Bukti tidak memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengarahkan mana-mana tertuduh menyerahkan sampel DNA mereka,” kata Karpal.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9419



Ikan bilis tak mainlah, kita heret yang penting saja – Karpal

KUALA LUMPUR: Pasukan peguam Ketua Pembangkang akan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan menghina mahkamah.

“Ya, kami mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan mensabitkan Najib dengan tuduhan menghina mahkamah,” kata Karpal kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Karpal, Najib akan didakwa menghina mahkamah kerana menggunakan media mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA beliau dalam perbicaraan Fitnah II yang sedang berlangsung sekarang.

Karpal berkata, kenyataan Najib di dalam media dianggap melanggar arahan hakim yang mahu pihak-pihak terlibat tidak menghina mahkamah.

“Justeru, mereka yang berbuat demikian perlu menanggung akibatnya iaitu
kemungkinan disumbatkan ke penjara,” tegas Karpal.

Ditanya wartawan sama ada pihak lain akan turut didakwa selain daripada Najib,
contohnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut membuat kenyataan sama, Karpal secara berseloroh menjawab beliau hanya mahu mendakwa mereka yang penting sahaja.

“Ikan-ikan bilis tak perlulah,” kata Karpal merujuk kepada Muhyiddin.
Seorang lagi peguam Anwar, Sankara Nair pula berkata, tindakan Najib itu terang-terangan satu campur tangan politik.

“Beliau menggunakan jalan politik dan mahu mengarahkan Anwar menyerahkan DNA-nya.

“Beliau tidak boleh sewenang-wenangnya beranggapan, ‘saya adalah undang-undang kerana saya adalah Perdana Menteri’,” kata Sankara.

Jelas beliau, tindakan Najib itu turut mengganggu mahkamah kerana ia boleh
mempengaruhi keputusan hakim.

“Ia akan mempengaruhi keputusan hakim. Beliau (Najib) adalah PM, dan hakim
berada di bawahnya (seperti yang kita lihat sebelum-sebelum ini),” kata Sankara.

Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini menangguhkan perbicaraan sehingga Rabu ini kerana beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan berhubung permohonan pendakwa raya.

Pendakwa raya sebelum ini memohon kepada mahkamah untuk menyemak semula keputusan bicara-dalam-perbicaraan yang menolak bukti yang diperoleh secara tipu helah daripada Anwar sewaktu beliau ditahan secara tidak sah pada 16 Julai 2008.

Mereka turut memohon untuk mendapatkan sampel DNA Anwar sekiranya Mohamad Zabidin mengekalkan keputusan bicara dalam perbicaraan sebelum ini -
Keadilan Daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive