13 April 2011

Ahli politik Australia kutuk pembuangan sisa radioktif di Kuantan

KUALA LUMPUR: Ahli politik Australia, Robin Chapple, meluahkan rasa tidak senangnya terhadap pembuangan sisa radioaktif di Gebeng, Pahang yang sudah pun diluluskan kerajaan Barisan Nasional.
Loji memproses sisa radioaktif di Gebeng Pahang itu yang dikenali sebagai Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) akan beroperasi sepenuhnya bulan September ini di bawah seliaan Lynas Corporation.
Lynas Corporation adalah syarikat Australia yang mempunyai lombong di Kwinana, Mount Weld, Australia Barat. Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, loji di Gebeng, Pahang akan memproses mineral thorium dari lombong di Mount Weld.
Chapple yang merupakan ahli Majlis Perundangan Australia Barat, berharap kerajaan negaranya tidak bersubahat dalam membuang sisa radioaktif di Malaysia.
“Saya berharap kerajaan pimpinan Barnett (Ketua Menteri Australia Barat) tidak akan bersubahat dalam membuang sisa radioaktif di negara lain.
“Barnett perlu mengambil tindakan untuk memaksa Lynas memastikan tiada thorium meninggalkan tapak lombong Mount Weld,” kata Chapple.
Chapple menyuarakan kebimbangannya ekoran sebelum ini, syarikat Magellan Metal, sebuah syarikat perlombongan bahan radioaktif terpaksa menghentikan eksport hasil lombongnya kerana mineral yang dieksport tidak dikendalikan dengan betul sehingga berlaku kebocoran plumbum yang merbahaya kepada penduduk yang berada di sepanjang laluan mengangkut mineral itu.
Justeru, beliau mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Lynas untuk menggali dan mengeksport bahan radioaktif dari Australia untuk ‘dibuang’ di Pahang.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya cadangan Lynas untuk membuang bahan radioaktif itu ke kawasan komuniti perikanan di Pahang. Saya sudah berhubung dengan komuniti di Malaysia dan mereka tidak mahu melihat sisa toksik dibuang di kampung mereka. Malah Ahli Parlimen Kuantan juga meminta sebarang sisa dari bahan radioaktif itu dipulangkan semula ke Australia,” kata Chapple.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sekarang ini sedang dalam usaha untuk menghentikan operasi loji tersebut di Pahang. Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN, menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub untuk menubuhkan badan bebas mengkaji impak radioaktif kepada persekitaran Gebeng. Ini kerana Gebeng terletak bersebelahan laut yang bersambung terus dengan Sungai Balok yang datangnya dari kawasan perindustrian menempatkan loji itu.
Beliau juga mengingatkan Adnan bahawa Gebeng terletak berhampiran dengan Cherating, sebuah kawasan perikanan.
Malah Adnan selaku Menteri Besar, kata Fauziah, mempunyai amanah untuk menjaga kepentingan rakyat.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11359

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive