23 June 2011

Keadilan Selangor arah 70,000 ahli sertai Bersih 2.0

SHAH ALAM - Keadilan Selangor akan mengarahkan 70,000 ahlinya untuk menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai ini.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya telah bersiap sedia mengemudi gerakan dalam perhimpunan tersebut.

“Sudah semestinya Keadilan Selangor akan turut serta bersama-sama rakan-rakan Pakatan yang lain dan kita menganggarkan 70,000 ahli daripada 128,000 ahli yang kita ada akan menyertai dalam perhimpunan rakyat ini.

“Kita tegaskan soal reformasi terhadap sistem pilihanraya Malaysia penting bagi pembinaan negara yang di hormati masyarakat dunia dan di atas semangat Perlembagaan Negara, KEADILAN Selangor nyatakan komitmen dan sokongan padu kepada Himpunan Rakyat BERSIH 2.0 ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Oleh itu katanya, pihaknya telah memaklumkan arahan tersebut kepada semua Ketua Cabang PKR seluruh Selangor.

Shuhaimi berkata, penglibatan KEADILAN Selangor secara langsung dalam BERSIH 2.0 ini akan membuktikan perjuangan parti dalam mengangkat nilai luhur demi menegakkan keadilan.

“Cukuplah dengan bantahan demi bantahan oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dipandang ringan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang nyata tidak profesional dalam menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah suruhanjaya yang seharusnya bebas dan tidak berpihak.

“Kita akan memberi sepenuh komitmen dan akan turun dibarisan hadapan bersama pimpinan BERSIH 2.0 sebagaimana yang telah disepakati dalam Konvensyen Pilihanraya lepas.

“KEADILAN Selangor akan tetap membantu himpunan aman ini dan akan mengarahkan semua ahli akar umbi untuk turun beramai-ramai walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran,” katanya.

Sementara itu, beliau menggesa supaya pihak polis menjalankan siasatan terperinci penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur ugutan bunuh terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan pada lewat malam semalam.

“Kita memandang serius perkara ini dan kita minta pihak berkenaan lakukan siasatan terperinci mengenainya,” katanya.








No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive