28 June 2011

Suhakam - Orang ramai punya hak berhimpun

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru pihak berkuasa supaya membenarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dirancang pada 9 Julai ini.

Tegas Suhakam, orang ramai mempunyai hak berhimpun dan menyuarakan pandangan, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan dan Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya hari ini, susulan usaha kerajaan untuk membatalkan perhimpunan itu.

“Suruhanjaya menyeru pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut dijalankan, dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab.

“Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” tegas beliau.

Baru-baru ini, Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, tindakan polis melarang perhimpunan bukan sahaja tidak sah, malah melanggar prinsip perlembagaan.

Umno, melalui media miliknya cuba mengambarkan perhimpunan aman itu bertujuan untuk mengancam dan mengganggu ketenteraman awam- meskipun telah ditegas berulangkali bahawa ia adalah tuntutan rakyat supaya kerajaan melaksanakan pilihan raya bersih dan adil.

Usaha berterusan dilakukan Umno dan NGO yang dinaunginya seperti Perkasa untuk menghalang himpunan itu, seperti membakar api perkauman, mengirim SMS ugutan dan mengancam penganjur serta peserta perhimpunan aman berkenaan.

Parti pemerintah itu turut memperalatkan polis untuk menahan orang ramai yang menyokong, manakala Kementerian Dalam Negeri mengugut akan menangkap penganjur di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Sehingga kini, seramai 81 telah ditangkap polis hanya kerana memakai T Shirt Bersih, termasuk ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) dituduh cuba menghidupkan ideologi komunis.

Dalam masa sama, sayap pemuda Umno dan Perkasa juga mengancam untuk mengadakan perhimpunan yang sama pada tarikh dan tempat perhimpunan Bersih dianjurkan, bertujuan untuk menimbulkan provokasi. - sumber

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive