13 August 2011

Dari London : Suspek samun Asyraf ditahan



Oleh ISABELLE LAI and NG CHENG YEE

PETALING JAYA: Polis Britain pada Jumaat telah menahan seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan kejadian samun pelajar Malaysia, Muhd Asyraf Haziq Rossli ketika rusuhan di London Isnin lalu.

Polis Metropolitan London dalam satu kenyataan turut mengesahkan penahan suspek yang berusia lingkungan 20 tahun.

“Pegawai polis telah menangkap seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan kejadian seorang lelaki disamun oleh sekumpulan orang yang berpura-pura membantunnya selepas dia diserang ketika rusuhan, Isnin lalu," kata kenyataan itu.

Difahamkan suspek ditahan pada pukul 5 petang waktu tempatan selepas sekatan dijalankan di beberapa lokasi.

Muhd Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Mara di Kolej Kaplan, mengalami patah gigi dan cedera di rahang apabila diserang dan disamun sekumpulan lelaki yang dalam rusuhan di London.

Dia kini sudahpun dibenarkan keluar daripada Hospital Royal London pada Khamis berkata akan tetap meneruskan pengajiannya di London walaupun keluarganya mahu dia pulang dan menyambung pengajian di Malaysia.

Muhd Asyraf turut melahirkan rasa terkejut ketika melihat rakaman video serangan ke atasnya.

“Saya terkejut kerana sebahagian daripada penyerang itu adalah kanak-kanak. Saya juga tidak menyangka ada orang yang merakam kejadian itu,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, pemangku Pesuruhjaya Tinggi Ray Kyles turut meluangkan masa bertemu ibu bapa Asyraf, Rossli Harun dan Maznah Abu Mansoor, di Kuala Lumpur pada Khamis.

Kyles turut merakamkan simpati beliau kepada mereka dan memberi jaminan kepada pasangan itu bahawa anak lelaki mereka akan mendapat 'rawatan perubatan yang sangat baik di UK'.

"Saya menyambut baik berita penahanan seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan insiden ini. Saya yakin polis UK akan bekerja keras untuk membawa pelaku jenayah ini ke muka pengadilan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Simon Featherstone turut meluangkan masa Muhd Asyraf selepas pelajar itu dibenarkan keluar daripada hospital.

Selepas kunjungan itu, beliau menyifatkan Asyraf sebagai 'seorang anak muda yang mengagumkan dan duta yang baik bagi Malaysia'.

"Keazaman beliau untuk meneruskan pengajian meskipun dilanda insiden ini harus dipuji. Saya mendoakan beliau cepat sembuh agar beliau dapat menyambung semula pengajiannya di UK," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Britain di sini.

Kenyataan itu turut menyebut pegawai kanan di Pejabat Hal Ehwal Luar dan Komanwel turut mengadakan hubungan yang kerap dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Rusuhan bermula di London beberapa hari lalu selepas seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Tottenham, utara London dan merebak ke banyak bandar termasuk Birmingham, Liverpool, Bristol dan Manchester.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive