20 August 2011

SPR temui BERSIH bincang 3 isu pembaharuan

2011/08/20

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju menemui BERSIH 2.0 bagi membincangkan tiga isu baru berkaitan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara tetapi menegaskan tidak akan sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba mengugut atau mencabarnya bagi melakukan reformasi pilihan raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, mengesahkan pihaknya sudah menerima surat daripada BERSIH mengenai pertemuan itu dan ia akan diadakan apabila suruhanjaya bersedia, namun persetujuan itu tidak bermakna SPR menerima pakai segala cadangan.

“BERSIH mahu membincangkan tiga perkara baru berkaitan reformasi pilihan raya tetapi saya tidak dapat mendedahkannya kerana tidak adil kepada mereka. Kita sudah terima surat daripada BERSIH dan akan tetapkan tarikh sesuai. “Malah SPR sedia berjumpa sesiapa saja yang mahu memberi cadangan atau pandangan untuk menambah baik amalan demokrasi dan sistem pilihan raya tetapi mesti bersikap telus lagi terbuka selain memahami kuasa serta kekangan suruhanjaya.

“Bukan senang menguruskan 12.4 juta pengundi dan saya akui kesilapan memang boleh berlaku tetapi janganlah terus menghentam SPR saja, sebaliknya kerjasama dengan kita untuk bersihkan daftar pemilih,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM), di sini semalam.

Hadir sama pada mesyuarat lebih dua jam itu Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan delegasi empat anggota daripada PROGAM, diketuai Tan Sri Ramon Navaratnam. Tiga lagi anggotanya, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Hamdan Adnan; Datuk N Siva Subramaniam dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Abdul Aziz berkata, hasil perbincangan dengan PROHAM akan dibawa kepada panel SPR bagi mempertimbangkan sama ada apa yang disyorkan itu boleh dijadikan sebahagian daripada undang-undang atau diterima pakai sebagai dasar baru.
Antara isu dibincangkan, katanya, adalah kebebasan SPR, pemantauan pilihan raya menggunakan sistem biometrik, penggunaan dakwat kekal, kemungkinan memperkenalkan pendaftaran pengundi secara automatik, pembabitan badan bebas memantau operasi SPR, tempoh kempen lebih munasabah dan kekangan terhadap SPR dari segi kewangan serta kakitangan.

PROHAM adalah badan bukan kerajaan (NGO) pertama menemui SPR selepas perhimpunan haram anjuran BERSIH pada 9 Julai lalu, turut menyerahkan memorandum bertajuk ‘Hak Asasi Manusia dan Reformasi Pilihan Raya’ meliputi hasil perbincangan sebuah forum umum dianjurkannya bulan lalu.

Mengenai teguran dan kritikan pelbagai pihak terhadap SPR untuk membersihkan daftar pemilih selepas kesilapan mengenainya dilaporkan media, Abdul Aziz, berkata orang ramai perlu mengetahui hakikat sebenar sebelum terburu-buru mengemukakan pendapat.

“Pembersihan daftar pemilih dilakukan setiap hari berdasarkan maklumat harian rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem sambungan di talian (ALIS) antara kedua badan ini. Memang ada kesilapan dalam daftar pemilih tapi jumlahnya kecil, hanya 0.0001 peratus daripada 12.4 juta pengundi berdaftar,” katanya - BH

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive