19 December 2011

'Superman' nak rampas KFC dari JCorp

Bekas CEO: ‘Superman’ rampas kuasa JCorp, gugat masa depan syarikat
Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, — Bekas ketua pegawai eksekutif JCorp, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, mendakwa wujud pengaruh luar, yang disifatkan sebagai “tangan-tangan Superman”, merampas kuasa pengurusan perbadanan itu, sekali gus menentukan hala tujunya yang tidak menentu termasuk memburukkan masalah hutang.

Menurut beliau, “tangan-tangan Superman” itu merupakan antara faktor menyebabkan perancangan asal JCorp melepaskan aset dan bisnes kurang strategik bagi menyelesaikan masalah hutang, yang disediakan oleh pengurusan JCorp, diketepikan.

Dengan merujuk kepada skim penyusunan semula pegangan saham QSR Brands Bhd dan KFC Holdings Bhd (KFCH) seperti yang sedang diketengahkan kebelakangan ini, yang akan turut menjadikan kedua-dua syarikat terbabit diubah status menjadi syarikat “persendirian”, bekas presiden JCorp ini turut mempersoalkan kenyataan Massive Equity kelmarin.

Meskipun langkah itu adalah baik untuk syarikat rangkaian makanan segera KFCH, Muhammad Ali menambah, skim tersebut akan menambah beban hutang JCorp dan bukan mengurangkannya.

“Ini akan memaksa JCorp menjual aset lain kemudiannya untuk membayar balik hutang yang bertambah besar dan kemungkinan besar melibatkan penjualan pegangan ke atas QSR dan KFCH yang diswastakan kepada pihak ketiga,” kata beliau lagi.

Laporan media dua hari lalu menyebut JCorp dan CVC Capital Partners (CVC) menerusi entiti yang diwujudkan untuk tujuan khas, Massive Equity, telah menyerahkan surat tawaran kepada KFCH dan QSR Brands untuk mengambil alih 100 peratus perniagaan dan aktiviti perusahaan kedua-dua syarikat tersebut, termasuk semua aset dan liabiliti.

Tawaran tersebut bertujuan untuk menggabungkan kesemua aktiviti dagangan KFCH dan QSR Brands yang memiliki rangkaian restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India untuk membentuk satu perniagaan runcit makanan serantau.

Massive Equity menawarkan RM4 bagi setiap unit saham KFCH dan RM6.80 bagi setiap unit saham QSR Brands, melibatkan nilai sejumlah RM3.2 bilion untuk KFCH dan RM2 bilion untuk QSR.

CVC merupakan sebuah firma ekuiti persendirian antarabangsa, menguruskan dana bernilai lebih AS$44 bilion (RM140 bilion). CVC telah melengkapkan lebih 250 pelaburan yang melibatkan pelbagai jenis industri dan negara manakala CVC Asia Pasifik merupakan salah satu pelabur ekuiti paling aktif di rantau ini dan sedang melaburkan dana khusus untuk Asia bernilai AS$6.8 bilion (RM21.6 bilion).

Sehubungan itu, dalam kenyataan beliau, Muhammad Ali juga melahirkan kebimbangannya campur tangan pihak luar yang dimaksudkan datang dengan idea sdan pendekatan yang asing dan jauh berbeza daripada pendekatan amalan pengurusan JCorp selama 40 tahun sejak ia ditubuhkan.

“Campur tangan ini telah mula mematahkan semangat seluruh warga kerja JCorp.

“Jika berterusan, ia dipercayai akan merosakkan dan berpotensi menjejas kekuatan dalaman JCorp yang selama ini telah menyumbang kepada kecemerlangan luar biasa badan korporat milik kerajaan Johor ini,” kata beliau lagi.

Muhammad Ali menambah, pengalaman korporat membuktikan campur tangan pihak luar yang menyebabkan kehilangan autoriti pengurusan dalaman akan menjejas pertanggungjawaban pengurusan dan terdapat tanda-tanda itu sedang berlaku di JCorp.

Katanya, pengenalan budaya korporat baru yang tidak serasi dengan amalan pengurusan dalaman adalah antara punca utama kegagalan organisai termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Contoh kegagalan ini boleh dilihat sendiri di kalangan beberapa GLC lain milik kerajaan Johor seperti KPRJ,” kata beliau yang turut bimbang bahawa “penyakit” itu sedang menjangkiti JCorp. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive