23 February 2012

Drama 'Apa Celop' hina Islam?

Ahmad Idham Kesal Dituduh Hina Islam Dalam 'Apa Celop'
Ahmad Idham.
KUALA LUMPUR: Pengarah filem dan drama popular, Ahmad Idham kecewa apabila ada pihak mendakwa drama bersiri terbaru arahannya iaitu Apa Celop menghina agama Islam.
Idham berkata, dia berasa kesal dan sedih apabila niat baiknya untuk memartabatkan kalimah Allah S.W.T. seperti ungkapan Alhamdulilah, Astagfirullah A'lazim, Subanallahdan sebagainya di dalam drama bersiri itu telah dikatakan menghina agamanya sendiri.

"Saya tidak faham mengapa ada pihak boleh mengatakan saya menghina agama saya kerana penggunaan kalimah tersebut dalam Apa Celop.
"Hanya kerana watak mat rempit yang mengucapkan kata-kata itu, terus saya dituduh menghina Islam, ia membuatkan saya berasa sedih," ujarnya kepada mStar Online di sini, Rabu.
Ahmad Idham mengulas pendapat sesetengah pihak menerusi beberapa laman sosial yang menuduhnya mempersendakan agama Islam apabila kalimah Allah diungkapkan oleh pelakon yang membawa watak mat rempit dalam drama bersiri tersebut.
Apa Celop menemui penonton TV3 pada setiap Isnin dan telah memulakan siaran pertamanya pada 20 Februari lalu.
Dalam pada itu, Idham berkata, masyarakat sepatutnya melihat perkara itu sebagai kebaikan dan cara membudayakan elemen Islam yang semakin jauh daripada masyarakat terutamanya golongan belia.
Dia sebenarnya sengaja menggunakan kalimah-kalimah tersebut secara kerap dalamApa Celop kerana ingin mendidik golongan belia dan kanak-kanak bahawa ada cara sebenar untuk menyatakan sesuatu mengikut ajaran Islam.
"Jika dilihat hari ini golongan remaja dan kanak-kanak lebih terbiasa dengan ucapan seperti Oh My God, Oh!Damn dan sebagainya selain tidak lagi menggunakan kata-kata Ya Allah Ya Tuhan Ku, Alhamdulilah, Astagfirullah A'lazim dan sebagainya.
"Sepatutnya orang yang mengecam itu kena kaji balik dan tidak cepat menuduh dan mengatakan saya menghina Islam," katanya.
Drama bersiri 13 episod tersebut merupakan cetusan idea Idham yang bertindak sebagai pengarahnya manakala skrip ditulis oleh Meor Shariman.
Ia memaparkan pelbagai dilema dan masalah pelumba-pelumba haram yang menjalani kehidupan mereka di Kuala Lumpur.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive