Aedi Asri Abdullah)
KUALA LUMPUR 2 Mac: Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memulangkan semula kertas sisatan National Feedlot Corporation (NFCorp) kepada pihak polis, menunjukkan kerajaan tidak berminat untuk mendakwa syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil itu.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Abdul Gani memulangkan semula kertas siasatan tersebut, meskipun pun pihak polis sendiri sebelum ini mencadangkan supaya Pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail didakwa.
“Sememangnya ia terpulang kepada Peguam Negara untuk mendakwa atau tidak.
“Namun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Syed Ismail Syed Azizan sendiri secara terbuka mengatakan ada bukti kukuh dan mencadangkan pengarah NFCorp, Datuk Mohamed Salleh didakwa di mahkamah,” ujarnya ketika dihubungi keadilan daily.
Menurut Rafizi, tindakan terbaru peguam negara itu hanya menunjukkan wujudnya usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghalang atau melengahkan pendakwaan terhadap keluarga Shahrizat.
“Ini kerana Peguam Negara hanya tertakluk di bawah kuasa Perdana Menteri,” tambah beliau.
Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Abdul Gani hari ini memulangkan kembali kertas siasatan kepada pihak polis dan mengarahkan siasatan diteruskan, tanpa menyatakan sebab.
Ini adalah kali kedua Abdul Gani bertindak sedemikian, selepas memulangkannya buat kali pertama pada 17 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, ia tidak akan melemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk terus mendedahkan penyelewengan RM250 juta yang dilakukan oleh NFCorp.
“Pakatan akan terus membongkar dan membentangkan bukti penyelewengan yang dilakukan NFCorp kepada rakyat, kerana terbukti rakyat dapat menjadi pendakwa yang lebih baik.
“Rakyat sememangnya tidak menaruh harapan tinggi untuk melihat tindakan diambil dalam kes ini. Justeru, saya berharap rakyat akan menghakimi Umno-BN melalui peti undi nanti,” jelas Rafizi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27706
No comments:
Post a Comment