24 June 2012

Lagi perang ceramah PAS vs UMNO di Melaka

Nazri Abdullah,24 Jun 2012

ALAI: Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat negeri Melaka malam ini bakal menyaksikan ceramah sebelah menyebelah antara PAS dan Umno.

Bertempat di perkarangan Surau Ustaz Ali di Permatang Pasir, Alai, Himpunan Hijau PAS bakal menampilkan 'ayam sabungnya' Mohamad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS sebagai penceramah utama.
Tempat ceramah Umno pula hanya berjarak kira-kira 200 meter dari tempat Himpunan Hijau itu.

(Gambar: Khairul Faizi turut mempamerkan kebolehan bermain gitar.)

Biarpun ceramah Umno hanya dijangka bermula malam ini, namun pembesar suaranya sudah mula diuji dari petang ini sebaik sahaja program Himpunan Hijau bermula kira-kira 4.30 petang.


Ketika program pemuda mengambil pentas di himpunan hijau dengan ucapan dan persembahan, corong pembesar suara di tempat BN yang dihadap betul-betul menghala ke himpunan hijau dipasang lagu-lagu dan nasyid dengat kuatnya.

Beberapa pemimpin pemuda Pakatan ketika berucap mendakwa, gangguan sedemikian merupakan biasa berlaku di sekitar negeri ini.

Selain 'perang' pembesar suara, suasana di sepanjang jalan tempat ceramah juga penuh dengan bendera kedua-dua parti yang digantung di tiang-tiang dan pokok.

Permulaan memberangsangkan

Sementara itu, sambutan terhadap program himpunan hijau pada sebelah petang tadi sangat memberangsangkan.

Hampir 1,000 orang sudah membanjiri perkarangan Surau Ustaz Ali bagi mengikuti program yang akan berlangsung sehingga kemuncaknya malam ini.

Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka mengambil tema 'Teknologi Hijau, Politik Hijau, Melaka Hijau'.

Antara program yang berlangsung petang tadi termasuklah konvoi motorsikal Alternative Riding Club (ARC), persembahan dari Iwan Syahman, Hafiz Bandboyz dan ucapan pimpinan tempatan.

Turut hadir petang tadi Pesuruhjaya PAS Negeri Adly Zahari serta Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat Khairul Faizi Ahmad Kamil. - Harakah

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive