24 January 2013

Tahniah saya ucapkan kepada kerajaan negeri Kedah

Tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas keberanian menyediakan garis panduan hiburan bagi sambutan program ‘1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013’, yang akan berlangsung di Alor Setar, Kedah, pada 15 Februari depan.

Garis tersebut melibatkan aspek pemakaian, nyanyian dan tarian. Cara pemakaian pegawai dan artis yang terlibat, hendaklah bersopan dan tidak mencolok mata. Persembahan nyanyian dan lagu hendaklah berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan tidak melalaikan serta melampau.


Jika berlaku nyanyian dan tarian melampau, pihak kerajaan berhak memberhentikan program serta-merta. Terus-terang, sebagai seorang Islam, saya bersetuju. Jika saya masih belum memeluk Islam pun, saya akan bersetuju, kerana sepanjang pembacaan saya, tidak ada satu agama membenarkan hiburan melampau.


Namun, dengan tidak semena-mena ultra kiasu seperti cacing kepanasan. Pimpinan parti ultra kiasu komponen BN dan PR, menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Kedah itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, serta menafikan hak dan kebebasan orang bukan Islam.

Tidak cukup dengan itu, garis panduan ini terus dipersendakan, termasuk seorang personaliti radio dengan berani berkata “menggalakkan nyanyian lagu motivasi! Apa jenis motivasi yang mereka mahukan? Sembahyang lima waktu? Semua wanita bertudung? Apa?"


Kenyataan seperti ini amat bersifat kurang ajar dan biadab. Saya berasa bangga kerana Presiden Persatuan Seniman, tampil ke hadapan, mendesak personaliti tersebut meminta maaf secara terbuka. Tindakan Seniman berhasil.


Personaliti tersebut terpaksa akur. Kepada Persatuan Seniman, “Gua tabik lu bro! Harap-harap kita dapat mengubah persembahan industri hiburan negara agar mempunyai identiti dan jati diri Islam.


Pada saya, garis panduan tersebut bukan sesuatu yang baru. Pihak Jakim pada 2009 turut mengeluarkan garis panduan hiburan yang hampir sama. Mengambil kira pandangan ulama kontemporari Yusuf al-Qaradawi, hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga diharuskan oleh Islam, dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa.


Ini bermakna, Islam tidak menentang hiburan selagi mana kita menjaga adab dan mematuhi garis panduan. Persoalannya, kenapa kita terlalu obses dengan hiburan melampau?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981, membuat keputusan, nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadab dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.

Jika sebaliknya, maka ia adalah haram. Saya berpendirian, kenyataan kerajaan negeri, Jakim, Majlis Fatwa adalah adil untuk semua pihak, sama ada Islam atau bukan.

Saya hairan, kita semua begitu beria-ia memperjuangkan kalimah ALLAH, termasuk bukan Islam.

Maka tunaikanlah hak ALLAH tersebut. Jika ultra kiasu ini beragama dan sayang kepada agamanya, sudah tentu mereka turut akur kepada garis panduan ini, malangnya mereka menentang habis-habisan. Apa kata kita minta ibu bapa atau adik-beradik menyanyi dan menari telanjang. Apakah kita suka melihatnya?


Kita tidak kisah orang telanjang, tetapi bila orang mahu tutup sedikit, kita begitu sensitif? Kenapa sebegitu ya? Agama apakah yang menggalakkan perlakuan melampau ini? Apakah berbogel juga dibenarkan perlembagaan? Apakah melakukan hubungan seks (bebas) dengan wanita lain dibenarkan perlembagaan? Kenapa parti ultra kiasu dan pejuang hak asasi manusia, tidak bersuara tentang amalan seks songsang seperti LGBT?


Apakah parti ini mungkin akan menghalalkan LGBT seperti mana parti ultra kiasu? Pelik sungguh, kejahatan disokong, kebaikan pula ditentang. Ultra kiasu turut memberi amaran, kerajaan yang tidak mendengar kehendak rakyat, tidak akan bertahan lama, dan berharap Kerajaan Kedah untuk lebih inklusif dalam menyentuh isu-isu sensitif. Pada saya, ini bukan suara rakyat.


Saya harap Pas tidak akan goyah dengan tekanan ini. Umno hendaklah menyokongnya. Kita hendaklah bersama dalam perkara kebaikan, walaupun ideologi berbeza. Garis panduan ini perlu diwujudkan di semua negeri, apatah lagi di peringkat Pusat. Bukan apa, supaya setiap persembahan kita ada identiti dan jati diri rakyat Malaysia yang mengaku mereka beragama, termasuk juga mereka yang mengaku ALLAH juga kepunyaan mereka.- 

1 comment:

lijitra said...

semoga syiar Islam ada dalam cara berhibur.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive