20 February 2013

TERKINI - Penceroboh Lahad Datu Akan Tetap Diusir - IGP



Pihak polis mahu melihat satu kesudahan yang baik dlam episod kumpulan penceroboh di Lahad Datu dan akan mengusir mereka pulang ke Filipina mengikut saluran undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan berita dan maklumat menerusi media sosial yang kurang tepat kerana pihak polis sudah mengambil langkah yang perlu untuk membendung insiden itu.

"Saya ada baca berita dan media sosial yang memberikan gambaran yang tidak tepat dan saya menyangkal semua itu.



"Janganlah mudah sangat percaya dengan kata-kata itu kerana kita nak cari solusi terbaik untuk mengusir mereka ini ikut perundangan negara kita," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurutnya lagi, polis sedang mengusahakan agar kumpulan itu pulang ke negara mereka secepat mungkin.

"Kita harapkan satu episod penyudah yang baik.

"Kita hendak (ia berakhir) secepat mungkin," katanya lagi selepas majlis penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dalam Op Selamat 2 sempena tahun baru Cina.

Menjawab soalan tentang persepsi orang ramai yang menganggap polis tidak tegas terhadap kumpulan itu, Ismail berkata polis berbuat demikian kerana "mereka tahu apa yang mereka buat".

"Anda boleh buat andaian, tapi saya nak mengesahkan kita tahu apa kita buat, banyak pertimbangan kita ambil kira untuk kepentingan semua," katanya.

Beliau mengulas mengenai tindakan polis ke atas kumpulan dari Filipina yang kini dikepung di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Akhbar Daily Express dari Sabah melaporkan kumpulan itu tiba pada jam 2 pagi Selasa lalu dengan membawa panji berlambang harimau dan mempunyai lima anggota wanita tanpa senjata.

Kumpulan itu juga dilaporkan meyakinkan penduduk Kampung Tanduo yang diduduki mereka bahawa mereka datang dengan aman dan mahu memuktamadkan satu perjanjian.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive