06 March 2013

OPS DAULAT : Seorang Pengganas Sulu Ditembak Mati Pagi Rabu


KAWAL... Kelihatan anggota polis dan tentera berkawal di jalan Kampung Tanjung Labian di sini, Rabu. 
Kampung Tanjung Labian dan Tanjung Batu kini turut menjadi zon merah dan semua penduduk kampung itu telah dipindah keluar bagi mengelak sebarang ancaman penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina yang dikhuatiri telah menyusup masuk ke kampung itu.
 
-fotoBERNAMA
LAHAD DATU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan seorang pengganas Sulu ditembak mati dalam operasi menggeledah di Kampung Tanduo kira-kira pukul 6.45 pagi Rabu.
Ismail turut menasihatkan agar orang awam berhati-hati kerana beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan pengganas kini menyamar sebagai penduduk kampung.
Bagaimanapun Ismail enggan mendedahkan butiran lanjut Ops Daulat termasuk jumlah mayat pengganas yang ditembak mati.
Sementara itu menerusi kenyataan media yang dimuatkan di laman Facebook PDRM, pasukan keselamatan itu menyatakan kemungkinan operasi pembersihan dan penggeledahan terpaksa diperluaskan daripada sasaran asal kerana terdapat tanda-tanda kumpulan pengganas bergerak ke satu lokasi lain.
"Pasukan keselamatan sedang mengesan pergerakan mereka dan akan mengambil tindakan untuk respon kepada situasi.
"Orang ramai sekali lagi diminta supaya tidak cemas kerana pasukan keselamatan masih mengawal keadaan dan orang ramai serta pengamal media diingatkan supaya tidak menghampiri atau mendekati kawasan operasi," kata kenyataan itu.


Laporan dakwa 30 ditemui terbunuh lepas pengeboman
Mac 6 2013
Laporan akhbar tempatan hari ini mendakwa seramai 30 orang penceroboh Sulu terbunuh dalam serangan besar-besaran melalui Ops Sulu, yang kemudiannya dinamakan Ops Daulat, di pantai timur Sabah semalam.

“Jumlah tersebut menjadikan keseluruhan pengganas Sulu yang berjaya ditumpaskan ATM dan PDRM sehingga kini ialah 49 orang, manakala di pihak anggota keselamatan negara tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa berlaku dalam operasi itu,” laporan Utusan Malaysia dipetik.

Laporan yang tidak menyatakan sumber maklumat itu juga menyebut, terdapat “khabar” yang menyatakan pemimpin kumpulan berkenaan Raja Muda Azzumudie terbunuh namun perkara itu tidak disahkan.

Sementara itu laporan akhbar Berita Harian pula yang memetik sumber mendakwa pasukan keselamatan, yang menjalankan operasi pembersihan selepas pengeboman semalam, menjumpai antara 20 hingga 30 mayat musuh.

Sementara itu, akhbar The Star pula hari ini melaporkan pasukan tentera memindahkan penduduk dari dua buah kampung berdekatan - Kampung Labian dan Kampung Batu.

Penduduk tempatan sebelum ini mendakwa kumpulan penceroboh memasuki kawasan tersebut dan menawan penduduk.

Pasukan keselamatan, setakat malam tadi, masih belum menyatakan jumlah rasmi yang ditemui dalam operasi besar-besaran diketuai pasukan polis.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar hari ini pula sekadar menyebut bahawa seorang penceroboh dipercayai maut selepas berbalas tembak dalam kawasan operasi pada kira-kira jam 6.45 pagi ini.

"Dengan situasi semasa ini pasukan keselamatan telah memperluaskan kawasan operasi sehingga melebihi 4 kilometer persegi sepertimana yang telah dinyatakan semalam," kenyataannya dipetik.
Ismail juga tidak memberi sebarang pengesahan mengenai status Azzumudie Kiram, yang dilaporkan terbunuh dalam operasi semalam.

Laporan mengenai kematian Azzimudie itu dinafikan media Filipina yang memetik kenyataan jurucakap kesultanan Sulu.

Menurut InterAksyon.com, portal berita dalam talian saluran TV Filipina TV5, jurucakap kesultanan Abraham Idjirani telah bercakap dengan Azzimudie melalui telefon di hadapan pemberita semasa taklimat media di Manila petang semalam.

Lapan buah pesawat tentera Malaysia semalam dilaporkan menggugurkan sekurang-kurangnya enam bom pemusnah di kawasan yang didakwa diduduki Azzimudie dan pengikutnya di Kampung Tanduo.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive