06 May 2013

PRU 13 ; BN menang dalam kekalahan


6 MEI — Keputusan pilihanraya kali ini menjadikan keadaan serba tidak kena kepada kedua-dua belah pihak, BN dan Pakatan Rakyat. BN memenanginya sekali lagi tetapi hanya kemenangan yang kecil, lebih kecil dari kemenangannya pada PRU 2008. Pakatan Rakyat pula walaupun kalah telah menambah kemenangannya dari 82 kerusi dalam PRU yang lalu sekarang mendapat 89 kerusi yang di menanginya.
Pendeknya BN telah memenangi PRU ini dalam kekalahan dan Pakatan Rakyat telah kalah dalam kemenangan. Keadaan “stand off” ini adalah satu situasi yang amat merbahaya bagi BN dan tidak akan dapat membentuk kerajaan yang benar-benar stabil dan kuat jika tidak ada usaha dan pengorbanan mana-mana pihak untuk mendapat sebuah kerajaan yang kuat bagi kepentingan masa depan negara dan rakyat.
Sejak akhir-akhir ini saya telah mengingatkan pihak Pakatan Rakyat agar tidak menunjukkan keghairahan yang keterlaluan. Saya telah berkata acapkali, supaya tidak mencurahkan air dalam tempayan semata-mata kerana mendengar guruh dilangit. Tetapi ramai yag membidas saya kerana emosi yang keterlaluan. Tetapi apa yang saya jangkakan mungkin berlaku itu telah pun berlaku dan kekalahan PR terutamanya PKR yang menonjol keterlaluan itu sekarang ternyata benar dan tiada yang lain selain dari kebenaran.
Saya memangnya merasakan perkara yang kita telah lihat sekarang ini akan berlaku. DAP dan PKR telah melakukan kesilapan besar kerana mereka meletakkan diri mereka sebagai pihak yang sudah pasti menang. Tidak adalah lagi perasaan sebagai “underdog” dalam DAP dan PKR. Bagi mereka kemenangan itu hanya untuk menunggu “formality” untuk diumumkan sahaja.
Lain-lain perkataan kedua-dua parti itu telah “berlunjur sebelum duduk” dan berlagak seperti pihak yang sudah pasti mendapat kemenangan. Jika saya selalu menuduh BN sebagai parti yang kufur diatas kenikmatan, keadaan ini juga wujud dalam DAP dan Pakatan Rakyat kerana mereka hanya menunggu waktu untuk menjadi seperti BN dan Umno jika mendapat kemenangan.
Pakatan terutamanya PKR telah berebut-rebut kerusi kerana mendengar guruh dilangit tadi. Ada pimpinan PKR telah berkonspirasi untuk menolak sesiapa yang mereka anggap akan memberikan saingan dalam PR jika menang dalam pilihanraya dan ini terjadi di NS negeri tempat saya mengundi. Akhirnya yang “dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran”. Ketamakan pada kuasa yang belum pun diperolehi itu disaksikan rakyat. Orang ramai memerhatikan tingkah dan laku mereka.
Sebenarnya kekalahan tipis PR itu adalah “unnecessary”. Tetapi PR sendiri yang terlalu meminta-minta keadaan ini untuk berlaku. Laungan pihak PR untuk menjadikan Anwar sebagai PM itu juga merupakan faktor besar penilaian pengundi-pengundi berbilang kaum di negara ini. Tidak kurang yang mahukan perubahan ini tetapi mempunyai “apprehension” apabila Anwar dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri.
Walaupun undang-undang berpihak kepada Anwar tetapi ramai yang merasakan yang Anwar masih tidak boleh terlepas dari isu moral yang sedang beliau hadapi itu. Pandangan yang benar akan mendapat tentangan tetapi sudah menjadi hakikat yang kebenaran itu amat susah untuk di terima oleh setengah pihak.
Satu lagi perkara yang mesti kita ingat dari sekarang, kekuatan “incumbency” BN itu bukannya mudah untuk di pecahkan.
Itu sebab saya mengatakan acapkali pihak yang melakukan kesilapan itu akan menghadapi ketewasan yang “unnecessary” dan itu telah pun berlaku semalam. Diharap kepada siapa yang terlalu garang itu, cuba-cubalah turunkan sifat ketakburan itu. Perubahan yang di sasarkan dari awal itu telah menyimpang kepada matlamat kepentingan peribadi dan menjadi penyumbang kepada kekalahan PR yang saya sebut sebagai kekalahan yang “unnecessary” itu.
Belajarlah yang kuasa yang “ultimate” itu adalah dari Tuhan Semesta Alam. Dia jugalah yang memberikan ketentuan yang sebenarnya. — aspanaliasnet.blogspot.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive