19 September 2013

Lebih 1,000 nikah di Siam setiap bulan

  • Lebih 1,000 nikah di Siam setiap bulanProsedur nikah di Thailand amat mudah hingga boleh disempurnakan di dalam kenderaan - Gambar hiasan. - Foto AZMI ARYANTO
 1 / 2 
SONGKHLA - Setiap bulan lebih 1,000 rakyat Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand kerana keterbukaan negara Gajah Putih itu dalam hal perkahwinan.

Konsulat Jeneral Malaysia di sini, Mohd Faizal Razali berkata, jumlah tersebut tidak termasuk pernikahan yang dilakukan melalui sindiket haram, di sini.

“Kebanyakan mereka kahwin di selatan Thailand untuk mengelak perkahwinan mereka diketahui isteri pertama yang (dirasakan) tidak memberi persetujuan berpoligami atau keterlanjuran tetapi dihalang ibu bapa dan ahli keluarga.

“Di selatan Thailand prosedur dan proses pernikahan tidak rumit serta cepat dan rata-rata pasangan yang berkahwin terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Paling ramai adalah yang berumur dalam lingkungan 30-an,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan persatuan mewakili 12 sekolah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi KPTM, Mohd Azis Jamman, Pengarah KPTM, Dr Wan Sabri Wan Hussain, Pengarah Kampus KPTM Kota Bharu, Mohamed Saifuddin Hussin dan pengetua-pengetua 12 sekolah yang terlibat.

Menurutnya, kebanyakan pasangan terdiri daripada mereka yang tinggal di negeri bersempadan Malaysia-Thailand seperti Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Mohd Faizal berkata, jumlah tersebut dijangka lebih ramai jika turut melibatkan pernikahan melalui sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah.\

Katanya, apa yang menyedihkan ialah sindiket haram mengenakan bayaran tinggi tetapi kebanyakan proses pernikahan yang mereka uruskan diadakan di tempat yang tidak sesuai seperti di kedai makanan, dalam kenderaan dan tidak kurang yang diadakan hanya di tepi jalan.

Beliau berkata, melalui konsulat, pernikahan dilakukan melalui proses yang sah mengikut garis panduan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan serta mendapat pengesahan Pejabat Konsul Malaysia, di sini.

“Melalui pihak konsul Malaysia, pasangan yang ingin bernikah hanya perlu mengeluarkan RM50 untuk pemprosesan dokumen dan ia juga tidak serumit yang dilakukan oleh pihak sindiket.

“Tugas utama kami adalah bagi memastikan bahawa perkahwinan yang berlangsung itu mengikut garis panduan dan mengelakkan pasangan daripada menjadi mangsa penipuan sindiket,” katanya.

 Menurutnya, melihat kepada sikap rakyat Malaysia yang suka ambil jalan mudah untuk berkahwin, beliau menyeru orang ramai agar tidak bernikah melalui sindiket kerana prosedurnya tidak sah dan akan beri kesan kepada keturunan pasangan berkenaan, di masa akan datang.

Mohd Faizal berkata, pihaknya tidak mahu mereka ini menjadi mangsa penipuan pernikahan secara sindiket kerana ia dibuat melalui prosedur yang tidak sah, semata-mata ingin kaut keuntungan.

“Saya tegaskan perkara ini perlu diambil serius kerana  ianya melibatkan keturunan pasangan yang bernikah,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pasangan bernikah secara tidak betul maka apabila anak dilahirkan nanti menjadi tidak sah dan ini sudah tentu boleh merosakkan institusi kekeluargaan Islam tersebut.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive