14 December 2013

Syiah : Ketua Syiah Malaysia, Ketua Syiah Kedah .... kenapa tak diambil tindakan? Kenapa Mat Sabu saja?

ALOR SETAR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dibidas kerana tidak mengambil tindakan terhadap pengikut fahaman Syiah yang secara terang-terangan mengakui menganuti fahaman itu, sebaliknya hanya bertumpu pemimpin nombor dua Pas, walaupun tuduhan samar.

Veteran Pas yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, setakat ini, biarpun Ketua Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz dan Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan mengakui diri mereka Syiah namun tindakan tidak diambil.

“Sehingga kini belum ada pendakwaan dibuat terhadap pengikut fahaman Syiah. Kenapa tak ambil tindakan jika sudah ada bukti dan mereka mengaku secara terang-terangan. Tuduhan terhadap pemimpin (nombor dua) pula belum sah, tetapi diperbesarkan seolah-olah ada agenda lain bersifat politik,” katanya.


Menurut Adun Pengkalan Kundor itu, mereka yang terbukti menganuti fahaman itu boleh diambil tindakan bawah perundangan sedia ada, sama ada perlembagaan mahupun enakmen negeri.

“Perundangan ada, jika ada bukti kukuh, tindakan boleh diambil,” katanya.

Phahrolrazi berkata, 10 alasan yang dikemukakan KDN bersifat dakwaan kerana tidak disertakan bukti kukuh.

“Saya andaikan alasan terbabit remeh. Dibuat rumusan daripada maklumat yang diperoleh daripada beberapa individu. Maklumat itu tidak boleh menjurus kepada tindakan perundangan,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak masuk akal sekiranya seseorang individu itu dikaitkan berfahaman kiri sekiranya sekadar mengagumi pemimpin bukan Islam seperti Khomeini.

“Saya sarankan ambil tindakan perundangan terhadap mereka yang dakwa beliau Syiah. Jika benar itu tuduhan liar, beliau berhak berbuat demikian untuk bersihkan nama yang tercalar,” katanya.

Phahrolrazi turut mempertikai sumber KDN yang memetik kenyataan CN Afghani, berhubung dakwaan bekas Yang Dipertua Pas kawasan Pendang, Abd Rahim dari Sungai Jagung, Pendang, yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pemimpin nombor dua itu penganut Syiah, kerana pernah melihat beliau menunaikan solat menggunakan batu kecil leper di tempat sujud, yang sinonim dengan amalan Syiah.

“Sumber berkenaan yang sebut nama Tuan Guru Abd Rahim, bukan dari mulut beliau sendiri,” katanya.

Difahamkan, CN Afghani atau Zainol Ismail adalah bekas ahli Pas yang dipecat parti ketika menganggotai Pemuda Pas, sekitar era 80-an.

Beliau juga dikenali sebagai Cikgu Non pernah bersahabat baik dengan pemimpin nombor dua itu hampir 20 tahun, namun selepas peristiwa Memali 1985, hubungan antara mereka tegang.

Sementara itu, Abd Rahim yang namanya disebut pernah melihat pemimpin nombor dua itu menunaikan solat menggunakan batu kecil leper di tempat sujud, ketika dihubungi semalam berkata, hanya akan mengulas kenyataan itu selepas berbincang dengan peguamnya.

BUKTI TIDAK CUKUP

KOTA BHARU - Bukti yang didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai Syiah kelmarin masih belum cukup untuk mengaitkan pemimpin nombor dua Pas dengan fahaman itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, 10 perkara yang didedahkan menerusi media itu adalah sebutan sahaja kerana selagi tidak disebut di mahkamah, ia bukanlah bukti.

“Setakat ini orang tidak akan percaya. Itu orang panggil sebutan bukti sahaja, bukan bukti,” katanya kepada media semalam.

Beliau mengulas mengenai pendedahan 10 bukti oleh KDN, lanjutan kenyataan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Disember lalu yang mengaitkan pemimpin nombor dua Pas itu dengan Syiah.

Nik Muhamad Abduh, yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jika tuduhan itu benar, pihak berkenaan perlu tunjuk bukti dan jangan mempolitikkan isu berkenaan.

Beliau ditemui selepas merasmikan Jualan Amal RM2 Tabung Banjir Kelantan, anjuran NGO di Medan Ilmu, di sini, yang turut dihadiri Presidennya, Nazeri Deraman.

Nik Abduh turut menyokong kesungguhan kerajaan untuk membasmi fahaman Syiah di negara ini, tetapi beliau berharap tindakan itu diambil dengan cara yang baik. - Sinar Harian

1 comment:

Nakhoda Kuala said...

Assalamualaikum .
Tolong linkkan blog saya . nakhodakuale.blogspot.com
Terima kasih !

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive