Siti Nor Hidayah Abdul Rahman, 23, berkata dia kecewa dengan tindakan doktor yang merawatnya ketika itu yang menuduhnya mengandung anak luar nikah sedangkan berlaku kesilapan pada ujian dijalankan.
Justeru, Hidayah yang bekerja di sebuah hotel di sini, menuntut HL memohon maaf atas kecuaian dilakukan sehingga menyebabkan maruahnya tercemar dan dia tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.
Mengulas kejadian itu, beliau berkata, pada 24 Disember lalu, dia ke Klinik Kesihatan Kuah, di sini, bagi merawat kesakitan dialami pada bahagian kanan perut, sebelum dirujuk kepada seorang doktor.
Katanya, hasil pemeriksaan, doktor terbabit memaklumkan ada sedikit masalah pada ovari kanannya yang dikesan lebih besar berbanding saiz di sebelah kiri dan doktor berkenaan mengesyaki mungkin disebabkan bengkak, sebelum dia diberikan ubat.
Pada masa sama, doktor terbabit turut mengambil sampel darahnya, sebelum dia dibenarkan pulang tetapi selepas seminggu, kesakitan itu masih dirasai.
Rujuk pakar sakit puan
“Pada 31 Disember, saya sekali lagi ke klinik sama, sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan di HL.
“Saya menjalani ujian imbasan pada perut dan ujian air kencing di Unit Kesihatan Ibu dan Anak, sebelum doktor memberitahu ada masalah pada saluran kencing, namun puncanya tidak dapat dikenal pasti.
“Saya dimasukkan ke wad dan keesokan harinya jam 10 pagi, tiga pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PAIDL) datang menemui dan bertanyakan pelbagai soalan tidak masuk akal.
“Paling mengejutkan, pegawai terbabit menuduh saya mengandung anak luar nikah. Ketika itu, jiwa saya luluh dan dunia rasa gelap, apatah lagi kata-kata pegawai terbabit turut didengar pesakit lain dalam wad sama,” katanya.
Hidayah berkata, ketika soal siasat dilakukan, beliau beberapa kali cuba meminta penjelasan jururawat dan doktor mengenai status ujian air kencingnya yang dikatakan positif mengandung, tetapi tidak dilayan kakitangan terbabit.
Perlu siasatan lanjut
“Saya tertekan apabila pegawai agama itu menyerahkan notis supaya hadir di PAIDL untuk siasatan lanjut dan meminta saya berdiam diri.
“Saya hanya menangis dan kemudian meminta ujian air kencing kali kedua dilakukan,” katanya.
Hidayah berkata, hasil ujian kedua itu menunjukkan beliau tidak mengandung dan dibenarkan pulang selepas tiga hari berada di wad.
“Saya rasa difitnah dan dianiaya secara melulu sehingga menjatuhkan maruah sebagai gadis yang belum berkahwin. Saya mahu mereka memohon maaf dan kini berbincang dengan keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan berjanji mengambil tindakan sewajarnya jika aduan itu benar. SUMBER
No comments:
Post a Comment