18 February 2014

Surat terbuka kepada Dr Kassim Ahmad


Saya menulis surat ini kepada Tuan doktor selepas saya membaca beberapa petikan daripada kenyataan Tuan di akhbar dan media internet. Entah mimpi apa tiba-tiba Tuan kembali bersuara setelah sekian lama bagai diam bertapa.
Rasanya sudah lama Tuan tidak bersuara. Kali terakhir kita bertemu kira-kira enam tahun lalu di Permatang Pauh.
Sewaktu Tuan duduk bersendirian, saya memberanikan diri untuk berteman bicara dengan tuan. Tidak mengapa jika Tuan tidak mengingati saya. Itu tidak penting.
Yang penting waktu itu, Tuan menyebut bahawa tuan tidak menolak hadis kecuali hadis palsu. Sayapun setuju. Tuan juga menyebut bahawa Tuan tidak anti hadis.
Bahkan Tuan menyebutkan bahawa perlunya al-Quran dijadikan rujukan. Itupun tiadalah siapa yang ingin menyangkalnya.
Di penghujung bicara kita waktu itu, Tuan sangat menghargai kepimpinan Fadzil Mohd Noor. Akupun teruja mendengarnya. 
Walaupun dalam masa yang sama Tuan juga menghargai kepimpinan Dr Mahathir Muhamad.
Tuan berasa cukup jelek dengan politik Umno. Waktu itu. Saya hanya mencatatkan semua itu dalam kertas otak saya.
Betapa saya sangat menghargai keintelektualan Tuan dalam bidang kesusasteraan dan politik tidaklah saya berani pada bidang keagamaan khususnya yang melibatkan persoalan aqidah dan syariah.
Meski kita mempunyai jalur yang sama dalam sastera namun persoalan agama yang Tuan nyatakan adalah suatu yang sukar dan saya memilih tidak bersama Tuan.
Saat orang Melayu mendewa-dewakan Hang Tuah bagai wira mereka, tiba-tiba Tuan dengan berani menongkah arus dan menukilkan bahawa lelaki tampan itu sebenarnya pengkhianat dan tidak layak dianggap sebagai wira.
Wira yang menegakkan keadilan adalah Hang Jebat yang beratus tahun mati sebagai penderhaka. Mati penuh kehinaan.
Hidup Tuan penuh pemberontakan seperti hidupnya Hang Jebat. Malangnya Tuan lupa akan adab susila orang Melayu yang penuh berbudi. Melayu tidak akan hidup dengan nafas revolusi Bolshevik atau amuk Jebat derhaka. Melayu ada caranya yang tersendiri.
Saya bukanlah ulama yang boleh mengatur ayat al Quran dan hadis (yang tentunya yang shahih) untuk menentang hujah Tuan. Saya hanya orang Melayu yang ingin hidup pada lingkungan Islam yang indah dan harmoni.
Jika kelompok ulama seperti kasta paderi, tentu kelompok pemikir seperti Tuan berkeinginan membina kasta tersendiri yang belum tahu apa istilahnya.
Bukan semua ulama akan menjurus kepada kebaikan. Sebab itu Imam Ghazali membahagikan ulama kepada dua; ulama baik dan ulama jahat. Sewaktu dulupun, Tuan pernah menjadi pejuang kelas bawahan.
Tetapi tidak wajar untuk Tuan menghukum kelas bourjuis semua sebagai “mustakbirin” dan kelas proletariat sebagai “mustaafin”. Kejahatan itu bukan terletak pada kelas atau ilmunya. Memang ada ulama tinggi ilmunya tetapi hidungnya panjang seperti Pinocchio atau “musang berjanggut” dalam filem P. Ramlee.
Bagaimanapun, menganggap ulama sebagai suatu kelompok elit dalam agama merupakan kekeliruan yang nyata.
Tuan akan menjadi menjadi fokus nasional. Nama Tuan semakin kerap dalam media massa hingga memungkinkan orang kita lupa tentang kenaikan harga barangan, ketegangan antara agama dan kaum dan timbunan permasalahan nasional, rasuah, hutang negara yang membimbangkan, ketirisan dan kegagalan kerajaan memerintah.
Orang Melayu akan mengamuk semacam Jebat bila agama dan bangsa mereka dilihat dihina. Barangkali elok saya peringatkan kembali puisi Usman Awang, “maruah dan agama dihina jangan, hebat amuknya tak kenal lawan”.
Pada umumnya,kenyataan Tuan itu satu penghinaan. Kebijaksanaan orang Melayu akan tenggelam. Orang Melayu akan turun berdemonstrasi, mengecam dan menghukum Tuan hingga stamina orang Melayu lemah untuk menentang syaitan besar yang sedang bertakhta menyusun skrip buat sandiwara yang tidak berkesudahan.
Kerana itu, saya mencadangkan pada rakan-rakan saya yang marah pada Tuan; jalan yang paling mulia menentang Dr Kasim Ahmad, jangan dirampas saxophone dari mulutnya tapi bawalah tali gambus keramat kalian!
Harap Tuan memahaminya dan kembali ke pangkuan jalan al Rahman. Amin. – 18 Februari, 2014.

2 comments:

Anonymous said...

yang penting tak percaya adanya 5hang tak la membawa kepada dosa

Qaseh Bonda said...

Kassim Ahmad dengan Kassim Selamat lebih kurang sama. Buat apalah nak butakan mata setelah celek semula.

Orang tua lanjut usia kembali dijadikan budak2 sebab nak beri pahala. Kalau dah tenggelam semula macam Kassim Selamat dr dunia pun tak mampu nak tolong.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive