17 March 2014

MH370: Tuduh juruterbang sabotaj tindakan biadap

KUALA LUMPUR: Tindakan media asing khususnya akhbar Daily Mirror dan Daily Mail mengaitkan kejadian pesawat MH370 sebagai tindakan sabotaj juruterbang dan pembantu juruterbang adalah satu tindakan biadap.

Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini berkata tindakan itu disifatkan biadap memandangkan siasatan masih dijalankan, selain pihak berkuasa Malaysia mendapati wujud unsur rampasan, dan bukannya sabotaj.

Pengerusinya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, berkata tindakan media yang berpangkalan di United Kingdom itu serta beberapa akhbar lain juga merupakan tindakan tidak rasional, selain mengetepikan sensitiviti keluarga kedua-duanya.

"Tindakan media luar itu tidak boleh diterima. Perlu diingatkan akhbar Daily Mirror pernah memfitnah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai pengganas Al-Qaeda pada 2007 lalu, yang akhirnya diarahkan untuk memohon maaf kepada Ustaz Hadi beserta ganti rugi teladan," kata beliau.


Selain menegaskan dakwaan itu juga menjatuhkan reputasi negara, Raja Iskandar turut melahirkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir pihak mengaitkan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan teori bahawa beliau mensabotaj pesawat itu kerana kecewa dengan keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau beranggapan dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan ia berniat jahat dan berpendirian isu keputusan penghakiman terhadap Anwar Ibrahim tidak perlu diheret dalam konflik besar ini yang boleh menjejaskan kredibiliti negara di mata dunia.

Dalam masa sama, Raja Iskandar berharap semua pihak tidak berteori dengan mengemukakan spekulasi liar sehingga mengganggu emosi keluarga mangsa dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat perkara ini.

"Pemuda PAS tidak sesekali bersetuju jika andaian dibuat dan menjatuhkan hukuman kepada juruterbang dan pembantunya tanpa ada asas dan bukti yang kukuh," kata beliau lagi.


 Ma Lie Sia [Malaysia] Kuat Berbohong - Akhbar China


 Malaysia beri maklumat ‘bercanggah’ tentang MH370

China mengkritik Malaysia lagi berhubung maklumat bercanggah yang diberikan berhubung kehilangan pesawat MH370, dengan media tempatan dan pengguna sosial media semakin skeptikal ketika misi mencari dan menyelamat masuk hari ke-10.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu mengumumkan bahawa kehilangan pesawat Malaysia Airlines mungkin ‘sengaja’ dan pesawat itu terbang beberapa jam lagi selepas meninggalkan laluan asalnya untuk ke Beijing.

Dalam editorialnya, akhbar China Daily mempersoalkan mengapa pengumuman dari Kuala Lumpr itu hanya datang selepas lebih seminggu pesawat itu lesap dan tertanya-tanya sama ada Malaysia berkongsi semua maklumat yang dikumpul, atau tidak.

“Percanggahan dan maklumat sedikit demi sedikit yang diberikan oleh kerajaan dan Malaysia Airlines menyukarkan usaha mencari dan keseluruhan insiden itu jadi lebih misteri,” tulis akhbar itu.

“Apa lagi yang Malaysia tahu tetapi belum dikongsi dengan dunia,” katanya.

Dua pertiga daripada penumpang pesawat itu adalah warganegara Malaysia, dan Beijing bersikap kritikal terhadap perkongsian maklumat daripada Malaysia – kekhuatiran yang semakin meningkat kerana bimbang pesawat itu mungkin dirampas.

“Adalah amat penting sebarang kekeliruan yang mungkin dieksploitasi oleh perampas atau pengganas dikenal pasti secepat mungkin kerana kita perlu mencari perancangan tindak balas,” lapor China Daily.

Ketua fakulti Pengajian Cina Kontemporari di Universiti Nottingham, Yao Shujie yang menulis di akhbar Global Times di China berkata, Malaysia “hilang autoriti dan kredibiliti” kerana maklum balasnya yang kelam-kabut.

“Kekurangan kekuatan dan pengalaman mengendalikan insiden itu menyebabkan kerajaan Malaysia tidak berdaya dan kepenatan dengan menafikan pelbagai khabar angin.


“Jika misi mencari itu terus tidak membawa hasil walaupun selepas mengikut maklumat baru, lebih baik Malaysia serahkan kuasa perintahnya kepada operasi menyelamat antarabangsa,” tulis Yao.

Kehilangan pesawat itu kekal menjadi topik paling hangat didebatkan di jaringan sosial, dengan kebanyakan pengguna Sina Weibo, iaitu laman sosial China mirip Twitter, melaungkan kebimbangan selepas maklumat berkenaan diberikan oleh kerajaan Malaysia.

“Mengapa baru sekarang mereka sahkan ia mungkin dirampas?”

“Malaysia, apa lagi yang anda sembunyikan,” tulis seorang pengguna Sina Weibo pagi ini ketika mengulas perkembangan terbaru yang didedahkan Malaysia.


Posting lain ialah:”Saya semakin kecewa dengan Malaysia dan kerajaan mereka yang tidak boleh dipercayai. Saya tidak merancang pergi ke sana pada masa depan.”

Minggu lalu, salah satu mesej yang tersebar luas ialah posting yang tertulis:”Vietnam terus menemui sesuatu. Malaysia Airlines asyik menafikan. China masih terus menghantar pasukan penyelamat.”

Hari ini, mesej terbaru yang tersebar luas di internet ialah:”Malaysia menyampaikan maklumat tidak benar sepanjang minggu. Vietnam dapat penemuan tidak berguna. China memberikan berita bernilai minggu ini.” -TMI 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive