Ini kerana, logiknya, sesiapa saja yang hendak lencongkan pesawat tersebut mestilah salah seorang atau sekumpulan dari 239 penumpang itu.
Di atas kertas, tentulah juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah menjadi individu yang relevan untuk disiasat.
Media melaporkan polis mula menjalankan siasatan di kediaman rumah juruterbang penerbangan MH370 yang hilang pada hari Sabtu, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat itu disyaki sengaja dilencongkan.
Pegawai polis tiba di rumah Zaharie, 53, di Shah Alam, pada petang Sabtu, tidak lama selepas Najib mengakhiri sidang akhbar beliau.
Sebelum itu dalam sidang media di Hotel Sama-Sama KLIA petang Sabtu, Najib memberitahu berdasarkan perkembangan terbaru itu, Malaysia akan memfokuskan kepada 227 penumpang dan 12 anak kapal MH370.
Dalam masa yang sama AFP menyiarkan komen seorang pegawai kanan tentera mendakwa pesawat sengaja dialihkan ke arah Lautan Hindi oleh seseorang yang ada kemahiran tentang penerbangan dan kedudukan radar.
"Individu itu boleh jadi juruterbang yang profesional dan cekap," kata pegawai tersebut yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Beliau berkata, teori itu berdasarkan data dari radar tentera.
Radar tersebut terus mengesan laluan pesawat selama beberapa jam selepas ia hilang dari radar pusat kawalan trafik udara dan radar awam, katanya.
Pesawat itu dipercayai diterbangkan ke Lautan Hindi, beratus-ratus kilometer dari laluan sebenar penerbangan pesawat itu.
"Dia tahu cara untuk mengelak dikesan radar awam. Dia dilihat sudah mengkaji cara untuk mengelak daripada dikesan," katanya.
Sebelum ini, ada media melaporkan selain juruterbang dan pembantunya, ada seorang penumpang yang merupakan pensyarah kejuruteraan elektrik mempunyai kepakaran dalam bidangnya dan pernah membuat kajian simulasi penerbangan.
Lelaki yang berkelulusan ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan dari United Kingdom itu kini berkhidmat sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti di Turki.-15/3/2014 - AD
SEPANG 15 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan radar utama merupakan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, sambil berkata ia telah menyimpang dari laluan penerbangan asal menuju ke Beijing dan hilang sejak Sabtu lepas.
"Hari ini berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh dari penyedia perkhidmatan data satelit, kita boleh sahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah Penerbangan MH370," katanya.
Berikutan perkembangan itu, Malaysia dan rakan sejawat antarabangsanya memutuskan bahawa kali terakhir pesawat itu berhubung dengan satelit kemungkinan dalam satu daripada dua koridor.
Dua koridor yang berkemungkinan itu adalah satu koridor utara yang dianggarkan menjangkau dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga utara Thailand atau koridor selatan yang dianggarkan menganjur dari Indonesia ke utara Lautan Hindi.
"Pasukan siasatan sedang berusaha untuk memperhalusi maklumat itu," katanya.
Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya.
Sistem komunikasi dipadam, siasat kemungkinan rampasan
SEPANG 15 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, siasatan terkini menunjukkan terdapat kepastian tinggi bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) serta transponder dalam pesawat MH370 telah dipadamkan.
Najib berkata, ACARS telah dipadamkan sebelum pesawat MH370 tiba di pantai timur Semenanjung manakala transponder pula dipadamkan tidak lama kemudian iaitu berhampiran kawasan sempadan kawalan udara antara Malaysia dan Vietnam.
ACARS merupakan sistem komunikasi pesanan pendek yang digunakan untuk perhubungan antara pesawat dengan pusat kawalan di darat manakala transponder memainkan peranan untuk membolehkan pengawal trafik udara mengenal pasti kelajuan dan hala tuju pesawat.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak mengesahkan rampasan kapal terbang telah berlaku tetapi menegaskan siasatan sedang dilakukan.
"Walaupun ada laporan bahawa ia dirampas, kita sedang menyiasat semua kemungkinan tentang pesawat MH370 yang bertukar haluan.
"Pihak berkuasa Malaysia memfokus semula siasatan terhadap kru dan penumpang dalam pesawat ini," katanya. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Dalam_Negeri/20140315/dn_40/Sistem-komunikasi--dipadam-siasat--kemungkinan-rampasan#ixzz2w1eTjFVj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment