25 May 2014

Sijil halal 2 produk Cadbury ditarik balik

  • CadburyCadbury
 1 / 1 
Cadbury tarik balik dua produk positif DNA babi

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Syarikat pengeluar produk berasaskan coklat, Cadbury Dairy Milk hari ini menarik balik dua produknya yang didakwa mengandungi DNA babi serta-merta.

Antara produk terbabit ialah Hazelnut Cadbury Dairy Milk dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

Tindakan itu dibuat susulan daripada penemuan DNA babi (porcine) yang terdapat dalam produk Coklat Susu Cadbury dengan Kacang Hazelnut dan Coklat Susu Cadbury dengan Kacang Badam oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Cadbury Confectionary Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan menarik semula produknya dari pasaran dengan serta-merta.

Menurut kenyataan itu, tiada coklat Cadbury dipengaruhi oleh ujian tersebut.

Dalam pada itu, pihaknya sedang menjalankan kajian penuh rantaian bekalan bagi memastikan semua standard kualiti terus dipenuhi.

"Kami memberi jaminan kepada pengguna kami bahawa coklat Cadbury yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah disahkan halal oleh Jakim termasuk lokasi dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk tersebut.

"Kami menggunakan prosedur kualiti yang ketat untuk memastikan bahawa produk kami mematuhi standard tertinggi kualiti dan keselamatan kami," katanya.

Pendedahan itu dibuat KKM dan mengesahkan bahawa dua dari tiga sampel Coklat Cadbury yang diambil telah diuji dan didapati positif porcine.

Sijil halal 2 produk Cadbury ditarik balik

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil keputusan menarik balik sijil halal bagi kedua-dua produk Cadbury yang mengandungi DNA babi serta-merta.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

"Kami ingin menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah melibatkan proses pengauditan dan pemeriksaan ketat merangkumi penilaian bahan ramuan, kaedah pemprosesan, peralatan yang digunakan, termasuklah pengujian makmal berdasarkan Standard Halal Malaysia dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, selepas sijil pengesahan halal, pemeriksaan akan dibuat secara berkala terhadap syarikat pengeluar produk berkenaan.

"Pemantauan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, sekiranya terdapat sebarang perlanggaran ke atas mana-mana produk atau ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat persijilan, pihak kami akan menarik semula atau menggantung sijil halal terhadap produk tersebut," katanya.

Kerajaan perlu saman Cadbury

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas seperti menyaman syarikat Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan berkenaan DNA porsin (babi) yang terdapat dalam dua produk coklat syarikat berkenaan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ni Abdullah berkata, tindakan itu wajar diambil supaya ia menjadi iktibar kepada pengeluar makanan lain.

“Syarikat ini telah melanggar Akta Makanan secara terang-terang. Kerana itu, kerajaan perlu bertindak untuk memberi peringatan supaya perkara sama tidak berulang.

"Ini juga akan menunjukkan ketegasan kerajaan dalam memastikan tidak ada syarikat lain yang bersikap sambil lewa dalam mengeluarkan makanan berstatus halal," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pelanggan seolah-olah terpedaya dengan syarikat ini yang selama ini dilihat mewar-warkan mengikut piawaian halal.

Sha'ni berkata, bukan hanya dua produk ditarik sijil halal, tetapi semua produk coklat syarikat berkenaan patut menerima nasib yang sama.

"Penarikan sijil tersebut perlu kerana dikhuatiri syarikat itu menggunakan mesin pemprosesan yang sama untuk menghasilkan coklat bagi perisa lain.

"Pengguna juga perlu menitikberatkan isu sijil halal Malaysia supaya tidak terus menjadi mangsa kepada pengeluar makanan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Katanya, pengguna tidak boleh memandang enteng perkara ini kerana sikap tidak kisah beginilah yang menyebabkan pengeluar makanan mengambil mudah aspek pengeluaran makanan halal.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive