08 July 2014

Dapur jalanan turun seperti biasa, pegawai DBKL tidak kelihatan


Walaupun diancam akan dikenakan tindakan saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dapur jalanan tetap berdegil dan terus memberi makanan kepada gelandangan di pusat bandar raya.
Pegawai penguatkuasa DBKL tidak kelihatan di mana-mana lokasi pengagihan makanan pada malam tadi.
Ahli pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) dapur jalanan, Munirah Abdul Hamid berkata pegawai DBKL tidak hadir ketika mereka mengadakan rondaan mengedar makanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Kotaraya.
“Biar mereka datang. Kita tidak berhenti,” kata Munirah ketika ditemui malam tadi.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dikritik teruk selepas beliau melarang aktiviti memberi makanan kepada gelandangan dalam lingkungan radius 2km dari pusat beli-belah Lot 10 di kawasan Bukit Bintang.
Minggu lalu, beliau memberi amaran DBKL akan menyaman mereka yang terus memberi makanan kepada gelandangan.
Beliau mendakwa dapur jalanan bertanggungjawab menggalakkan kemalasan di kalangan gelandangan selain kegiatan membuang sampah di jalanan, menarik haiwan pembawa penyaking seperti kencing tikus (Leptospirosis).
Munirah berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kementerian berkenaan untuk berbincang mengenai isu gelandangan dan pengemis di ibu kota.
Bagaimanapun, katanya, pada awalnya beliau tidak dijemput menyertai mesyuarat itu, dan terpaksa meminta seorang pegawai dalam kementerian untuk membolehkan beliau hadir.
“Kita akan selesaikan perkara ini dengan cara orang dewasa dan dalam keadaan paling bersopan santun. Ada penyelesaian kepada masalah gelandangan dan kita pernah beri idea sebelum ini, sesuatu yang kita akan beritahu mereka sekali lagi dalam mesyuarat hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, Ops Qaseh yang masih dijalankan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat untuk mengumpul golongan tidak berumah dan pengemis di seluruh negara menakutkan ramai gelandangan.
Adrian Lim, yang menjadi sukarelawan di dapur jalanan Pertiwi sekali dalam seminggu berkata, jumlah gelandangan yang datang merosot sejak amaran menteri Wilayah Persekutuan itu.
Beliau berkata, jumlah gelandangan biasanya kurang ketika Ramadan, tetapi susulan khabar angor dapur jalanan Pertiwi menghentikan operasi, dan bimbang DBKL mengadakan serbuan seperti Ops Qaseh, ramai yang takut untuk datang ke lokasi agihan makanan.
“Biasanya kita ada kira-kira 700 orang untuk diberi makanan, tetapi hari ini jumlahnya berkurangan separuh daripada biasa,” katanya.
Lim berkata, gelandangan bukan golongan yang jahil dan mereka pasti sudah tahu kerajaan berhasrat untuk mengumpulkan mereka.
“Saya pasti ada antara mereka sudah bersembunyi,” katanya.
Katanya, dua minggu lalu, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ada singgah untuk memantau dan mengambil gambar operasi Pertiwi dan ada antaranya bercakap dengan gelandangan.
“Mereka perhatikan kita dari jauh, tetapi bila diajak menyertai kami, mereka menolak. Anda boleh dengar gelandangan itu merungut dan bertanya kepada kami mengenai langkah pelik pegawai berkenaan, yang pasti mereka tidak percaya pihak berkuasa,” kata Lim.
Semalam, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata pelancong turut mengambil kesempatan mengambil makanan percuma yang diedarkan dapur jalanan.
Lim berkata, Rohani mungkin menerima maklumat yang salah.
Katanya, mereka yang memerlukan makanan hangat kebanyakannya warga tempatan, kebanyakan lelaki berusia 50 tahun ke atas. – 8 Julai, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dapur-jalanan-langgar-perintah-pegawai-dbkl-tidak-kelihatan#sthash.JmRunaCq.dpuf

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive