Akhbar New Zealand Herald pada Ahad mempersoalkan bila kerajaan Malaysia akan menyerahkan Muhammad Rizalman Ismail kepada negara itu untuk diadili selepas menghadapi dakwaan cubaan merogol seorang warganya.
Melalui ruangan pendapat editor, akhbar itu berkata, New Zaland menuntut penjelasan mengapa proses menghantar kembali pegawai waran II itu masih tiada sebarang perkembangan.
"Awal bulan lalu, Malaysia memberikan komitmen untuk mengembalikan Rizalman ke New Zealand dan berkata keadilan perlu ditegakkan.
"Namun, diplomat itu kemudiannya dimasukkan ke hospital tentera bagi menerima rawatan psikiatris dan dibebaskan lebih seminggu lalu. Namun dalam masa terdekat tiada tanda dia akan kembali ke New Zealand," kata akhbar berkenaan.
Kes itu menjadi topik utama media Malaysia dan New Zealand apabila Rizalman pulang ke Malaysia atas imuniti diplomatik walaupun dia ditahan pada 9 Mei atas cubaan merompak dan merogol.
Dia didakwa di mahkamah keesokan harinya.
Pada Ahad 6 Julai, hari Rizalman sepatutnya dihantar pulang, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkefli Mohd Zin berkata tarikhnya masih belum diputuskan kerana keadaan kesihatan mental dan emosinya masih dalam pemerhatian.
Penghantaran pulang Rizalman terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu selepas doktor mengarahkan satu lagi ujian psikologi ke atasnya kerana dia kelihatan mengalami masalah mental dan kemurungan.
Akhbar berkenaan berkata, Menteri Luar New Zealand Murray McCully dan pegawainya juga masih tidak memberikan sebarang kenyataan jelas tarikh sebenar Rizalman akan dihantar untuk dibicarakan di Welington.
"Adakah Rizalman kini cuba mendapat ekstradisi?" soal akhbar berkenaan.
Rizalman didakwa menyerang Tania Billingsley, 21, di kediamannya.
Mangsa mendakwa, suspek meninggalkan negara itu di luar kehendaknya dan dia merasakan pihak berkuasa New Zealand tidak bersungguh-sungguh dalam mengendalikan kesnya. – 4 Ogos, 2014.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bila-malaysia-akan-serah-rizalman-kepada-new-zealand-soal-akhbar#sthash.438WzrxG.dpuf
No comments:
Post a Comment