Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang, hari ini, membatalkan tuduhan berkhalwat dan sabitan bersalah yang dikenakan terhadap seorang wanita Indonesia beragama Kristian, Halimah, dua tahun lalu.
Pendakwa Syarie Mohamad Fahmi Mohamad Idris memberitahu mahkamah pihaknya menarik semula pendakwaan terhadap Halimah.
Arahan tersebut dilakukan ketua pegawai pendakwa raya syariah mengikut Seksyen 103 Enakmen Tatacara Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang yang membenarkan ketua pegawai pendakwaraya untuk menarik kembali pendakwaan di mana-mana peringkat kes.
Hakim Zaini Abd Rahim membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan mengarahkan Halimah dibebaskan secara serta merta.
Halimah, 42, ibu kepada 4 anak, seorang penganut Katolik yang bekerja di pusat refleksologi dibebaskan selepas pendakwaan ke atasnya digugurkan.
Beliau sepatutnya dijadualkan untuk perbicaraan semula di Mahkamah Rendah Syariah.
"Saya akhirnya bebas. Saya sangat gembira," katanya dengan nada sebak kepada wartawan selepas keluar dari kamar mahkamah.
"Saya menangis kerana saya gembira. Saya berterima kasih kepada tuan-tuan (merujuk kepada peguamnya, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff dan pegawai dari Kedutaan Indonesia di Pulau Pinang) kerana membantu saya.
"Terima kasih adik-adik (kepada media kerana memberi keutamaan kepada kesnya)," katanya.
Pada 15 Mei 2012, Halimah didakwa berkhalwat mengikut Seksyen 27(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pulau Pinang) di Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang.
Dia mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM3,000. Bagaimanapun, dia masih belum menjalani hukuman kerana menanti rayuan.
Pada 3 Disember tahun yang sama, kes Halimah disemak semula oleh Mahkamah Syariah dengan prosoding mengekalkan rayuannya.
Pada 9 September 2013, Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan peguam Halimah membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan Syariah.
Peguamnya membuat rayuan di hadapan hakim, di bawah Seksyen 74 enakmen tersebut, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa kerana dia beragama Kristian.
Peguambela turut membekalkan beberapa dokumen lain sebagai bukti termasuk sijil pembaptisan yang membuktikan Halimah beragama Kristian ketika di Medan pada 19 Jun 1982, dan keluarganya juga beragama Kristian, serta surat konsulat Indonesia di Pulau Pinang mengesahkan dia beragama Kristian.
Wan Faridulhadi memberitahu mahkamah tiada bukti pendakwaan menunjukkan Halimah memeluk Islam.
Halimah tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya dan mahu menyampaikan berita tersebut kepada keluarganya di kampung.
"Sekarang ia sudah berakhir, saya mahu pulang ke rumah dan beritahu mereka tentang berita tersebut," katanya.
Majikannya Datin Josephine Ong, yang membayar upah guamannya dan turut serta berada bersamanya sepanjang perbicaraan, juga meluahkan rasa gembiranya.
"Saya juga gembira untuk Halimah, beliau kini wanita bebas," katanya.
Sementara itu, wakil pemerhati Majlis Peguam Cecil Rajendra dan Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), berkata mereka masih membincangkan langkah seterusnya.
Kemungkinan tindakan saman akan diambil ke atas pihak berkuasa kerana mengheret Halimah dan majikannya berdepan keadaan sukar selama 2 tahun.
Kes Halimah menjadi tumpuan kerana menjadi wanita bukan Islam pertama yang didakwa dan didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di negara ini. – 26 Ogos, 2014.
1 comment:
Inilah keadilan di malaysij,orang islam dan orang kristian buat kesalahan yang sama,org islam dihukum org kristian dilepaskan
Post a Comment