27 August 2014

PR Derhaka Kepada Titah Sultan Jika Calon Wan Azizah Sahaja – Penganalisa

Wan Azizah/Pic:fileWan Azizah/Pic:fileKUALA LUMPUR: Tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang tetap bertegas mencalonkan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  sebagai menteri besar yang baharu disifatkan sebagai menderhaka kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory, berkata kedegilan PR (DAP dan PKR) yang berkeras untuk mencalonkan satu nama sahaja (Wan Azizah) sebagai calon tunggal PR menunjukkan sikap degil dan mencabar kedudukan Sultan Selangor dalam isu menteri besar.
“Bagi pendapat saya, tindakan PKR itu seperti menderhaka kepada titah sultan, seolah-olah mereka memaksa sultan menerima calon mereka,” ujarnya.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam ketika ditemui pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, Sultan bertitah agar parti PAS, DAP dan PKR mencalonkan lebih dua nama bagi perlantikkan menteri besar baharu.
Hal ini demikian katanya, ia bagi memudahkan baginda untuk menentukan calon yang berkelayakan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak sebagai menteri besar.
Mengulas mengenai perkara itu, Atory menambah, parti PAS tidak perlu tunduk kepada desakan daripada rakan sekutunya – PKR atau DAP (jika mereka tetap ingin mencalonkan satu nama sahaja).
“Ini soal menjunjung titah Tuanku Sultan dan oleh itu, mahu tidak mahu mereka perlu mengemukakan nama Adun kepada Sultan.
“Apabila Tuanku Sultan bertitah, minta PAS serah nama, langkah tuanku betul mengikut perlembagaan kerana mengikut undang - undang, PR tidak berada dalam satu parti. Siapa-siapa yang Tuanku pilih (sebagai menteri besar baharu) dalam PR samada PAS, DAP atau PKR mereka kena akur,” jelasnya hari ini yang berpendapat PAS akan mencalonkan Iskandar Samad (Pesuruhjaya PAS Selangor).
Memetik kenyataan sebuah portal berita dalam satu kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua lewat malam tadi sebagai berkata, PKR dan DAP tetap hanya akan mencalonkan satu nama sebagai menteri besar Selangor (Wan Azizah) walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah menghendaki PR menghantar lebih daripada dua nama.
Terdahulu, Sultan Selangor telah menangguh untuk menerima perletakan jawatan Abdul Khalid sebagai menteri besar Selangor sehingga pelantikan menteri besar yang baharu.
Abdul Khalid sebelum ini telah telah dipecat daripada PKR oleh Lembaga Disiplin PKR ekoran keengganan beliau untuk memberi laluan kepada Wan Azizah bagi memegang jawatan menteri besar.  Walaubagaimanapun, sehingga pertemuan Abdul Khalid dengan Sultan semalam, beliau masih lagi diperkenan untuk mentadbir Selangor sehingga Pakatan Rakyat mencalon lebih dua nama bagi melihat sokongan majoriti rakyat dan memudahkan baginda membuat pilihan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive