07 January 2015

Mana dana RM4 bilion 1MDB di Pulau Cayman - DAP

Mana dana RM4 bilion 1MDB di Pulau Cayman, soal DAP
DAP mempersoalkan kelewatan pemulangan semula RM4 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Pulau Cayman seperti yang dijanjikan Putrajaya dan syarikat pelaburan strategik itu tahun lalu.
Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, kelewatan mendapatkan semula wang bukan hanya menimbulkan persoalan tentang 1MDB tetapi turut menggugat kestabilan sistem wang negara.
"Persoalan timbul kenapa dana RM4 bilion dari Pulau Cayman yang sepatutnya dipulangkan pada November 2014, tidak dihantar kembali bagi membantu mengurangkan beban hutang 1MDB," soalnya merujuk kepada hutang RM40 bilion syarikat itu.
Katanya, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan terlalu cepat menepis kritikan yang mempersoalkan kewujudan wang di Pulau Cayman, apabila beliau dengan yakin memberi jaminan di Parlimen "pelaburan" akan dikembalikan semula kepada 1MDB pada hujung 2014.
"Namun sehingga hari ini, seminggu berlalu pada Januari 2015, tidak ada tanda dana ini akan kembali semula ke Malaysia atau kepada 1MDB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyata kewangan bagi tahun berakhir Mac 2014 yang difailkan Oktober 2014 menunjukkan jumlah RM4 bilion akan diterima penuh sebelum hujung November tahun lalu.
Bagaimanapun, bulan lalu, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin membayangkan 1MDB hanya "dijangka dapat menebus semula baki jumlah itu pada bulan akan datang", menurut Pua bertentangan dengan kenyataan dalam laporan kewangan.
"Mungkin dana di Pulau Cayman dijadikan 'pelaburan' yang amat dipersoalkan nilainya, dan jika dilupuskan hari ini akan menyebabkan kerugian besar kepada 1MDB," katanya.
Katanya, 1MDB terlepas dua tarikh akhir bayaran semula hutang RM2 bilion pada November dan Disember tahun lalu, yang merupakan sebahagian penjadualan dan penstrukturan semula hutang yang tidak dapat dibayar pada November 2013.
Mempersoalkan kebisuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai hal ini, Pua berkata tindakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB "memekakkan telinga" selain mengambil pegawai bank terkemuka sebagai presiden dan pengarah eksekutif kumpulan dua hari lalu ketika syarikat mengalami penilaian strategi tidak akan dapat menyingkirkan masalah besar.
"Kebisuan Najib memusnahkan keyakinan pelaburan dan komuniti kewangan dalam pentadbirannya," katanya.
Beliau memberi amaran kegagalan 1MDB membayar semula pinjaman RM2 bilion akan menyebabkan kedudukan kewangan dua bank terbesar negara, Maybank dan RHB Bank yang menjadi peminjam terbesar kepada syarikat itu, terjejas teruk.
Katanya, lebih buruk, satu kelalaian pinjaman secara automatik mencetuskan kesilapan dalam baki hutang RM40 bilion 1MDB, sekali gus mengakibatkan 'bencana' kepada Putrajaya, keseluruhan sistem kewangan dan pembayar cukai.
Lodin bulan lalu berkata, penghantaran semula dana ke Malaysia akan menyebabkannya terdedah kepada naik pasaran pertukaran wang asing.
Ini berikutan kejatuhan ringgit sejak 10 bulan lalu kepada RM3.54 berbanding dolar Amerika.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut mengkritik syarikat itu apabila sejumlah wang besar daripada hutang 1MDB dihantar ke Pulau Cayman, satu tindakan yang dipersoalkan banyak pihak termasuk pembangkang.
Dianggarkan sekurang-kurangnya RM18 bilion daripada wang 1MDB diletakkan di Pulau Cayman.
Lodin berkata, bukan sesuatu yang luar biasa bagi syarikat pelaburan seperti 1MDB melaburkan dana di pulau itu, sebagai antara pusat kewangan berdaftar terbesar dunia dan Pihak Berkuasa Kewangan Cayman diiktiraf sebagai salah satu pengatur utama terbesar dunia.
Katanya, pada 2009, 1MDB dan syarikat Arab Saudi menjalin usaha sama membantu kerjasama ekonomi jangka panjang di antara Malaysia dan Arab Saudi.
Dana usahasama ditubuhkan untuk membuat pelaburan dalam projek yang menjana kewangan dan kelebihan strategi kepada dua negara tetapi disebabkan beberapa faktor, kedua-dua pihak memutuskan untuk tidak meneruskannya.
Akibatnya, pelaburan1MDB dalam syarikat itu ditukar kepada instrumen pendapatan tetap dalam bentuk Murahaba, yang pada dasarnya adalah pinjaman, dengan kadar faedah tahunan 8.75%.
Katanya, pinjaman itu sudah dibayar penuh, bagi AS$2.318 bilion dengan keuntungan AS$488 juta, pada 2013.
The Edge Financial Daily tahun lalu melaporkan penyusutan nilai ringgit akan menjejaskan 1MDB, yang mempunyai sebahagian besar daripada jumlah hutang RM42 bilion.
Sebahagiannya yang berjumlah RM22.25 bilion menurut penyata kewangan 1MDB bagi kewangan berakhir 31 Mac 2014 kini berkembangan kira-kira RM25.7 bilion, meningkat sebanyak RM3.96 bilion disebabkan kejatuhan ringgit 6.5% pada 2014. – TMI

1 comment:

Faqirulkhoir said...

Adakah pinjaman itu dlm matawang dolar ?
Mungkin begitu, kerana transaksi dibuat di luar negeri. Adakah aset atau harta 1MDB juga dinilai dlm dolar Amerika. Atau dinilai dlm matawang ringgit selepas kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar untuk menunjukkan peningkatan atau tambahan. Ini adalah antara isu2 yg perlu penjelasan/pengupasan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive