05 January 2015

Surat Rahsia: DS Zahid Perlu Segera Beri Penjelasan

Surat Rahsia: DS Zahid Perlu Segera Beri Penjelasan
Saya mengikuti perkembangan isu surat rahsia DS Zahid Hamidi kepada FBI mengenai Paul Phua Wei-seng, termasuk kenyataan yang dibuat DS Shafee Abdullah semalam. Saya ingin berterima kasih kepada DS Shafee kerana walaupun Menteri Dalam Negeri belum menjawab, peguam UMNO nombor satu telah menjawab salah satu soalan yang saya tujukan kepada DS Zahid.
Berdasarkan kenyataan DS Shafee, kita kini tahu bahawa surat rahsia DS Zahid kepada FBI yang didedahkan South China Morning Post adalah sahih dan benar.
Walau bagaimanapun, sehingga hari ini DS Zahid Hamidi masih memilih untuk berdiam diri dan belum menjawab apakah "projek-projek berkaitan keselamatan negara" yang dibantu Paul Phua, dan mengapa DS Zahid mampu mengeluarkan surat untuk seorang seperti Paul Phua tetapi tidak berkata apa-apa apabila Interpol mengeluarkan waran tangkap terhadap Dr Yusuf Al-Qaradawi, Tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf Kerajaan Malaysia.
Paul Phua
Beberapa orang Ahli Parlimen juga telah persoalkan bagaimana seorang menteri kabinet telah mengeluarkan surat seperti ini bukan di atas nasihat Peguam Negara, tetapi di atas nasihat peguam persendirian. Adakah ini satu "Standard Operating Procedure" ataupun kebiasaan bagi menteri-menteri?
Seharusnya DS Zahid lebih proaktif memberi penjelasan mengenai isu-isu ini. Malah sekiranya DS Zahid terus memilih untuk berdiam diri, beliau seakan mengiakan persepsi yang telah timbul bahawa beliau sedang mempertahankan seorang yang pernah ditangkap dan diusir dari Macau kerana aktiviti perjudian, dan sedang didakwa di mahkamah Amerika Syarikat kerana aktiviti perjudian.
Walaupun dalam satu kenyataan kepada Kwong Wah Yit Poh hari ini DS Zahid berkata 14K Triad tidak wujud di Malaysia, tetapi bolehkah DS Zahid mengesahkan samada Paul Phua seorang ahli 14K Triad atau tidak? Adakah ini tidak bercanggah dengan laporan PDRM yang digunapakai FBI dalam kes terhadap Paul Phua?
Mengikut data daripada Global Financial Integrity, Malaysia telah kehilangan RM170 bilion akibat pengeluaran wang secara haram pada 2012, termasuklah pengubahan wang haram (money laundering) di mana aktiviti perjudian merupakan salah satu kaedah wang haram diubah. Tidak mustahil kumpulan-kumpulan kongsi gelap terlibat dalam aktiviti ini.
Zahid Hamidi
Oleh itu, saya meminta DS Zahid untuk menjelaskan pernahkah Paul Phua ditangkap dan/atau didakwa di Malaysia kerana aktiviti jenayah seperti perjudian atau pengubahan wang haram (money laundering)?
Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi merangkap Naib Ketua AMK

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive