15 February 2015

Selepas Nik Aziz tiada, laluan mudah Kerajaan Perpaduan


Selepas Nik Aziz tiada, laluan mudah Kerajaan Perpaduan
Puluhan ribu rakyat Malaysia menghantar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perjalanan terakhirnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan.
Nik Aziz dihormati kawan dan lawan serta sebahagian besar rakyat Malaysia kerana ketegasan mempertahankan prinsip perjuangan dan kezuhudannya dalam kehidupan.
Mana hendak cari lagi pada zaman ini seorang menteri besar di Malaysia yang tinggal di rumah papan? Tidak hairanlah mengapa Nik Aziz begitu dihormati dan disayangi.
Media milik negara seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) akhirnya memainkan peranan sebagai “media milik negara” apabila memberikan liputan meluas kematian seorang tokoh politik penting walaupun bukan daripada parti pemerintah.
Pemimpin parti lawan yang sebelum ini pernah mencaci dan memaki Nik Aziz juga berubah nadanya.
Pada ketika rakyat Malaysia masih lagi mengucapkan takziah, membacakan Al-Fatihah dan bersedih dengan permergiaan Mursyidul Am PAS itu, sesetengah pihak bergembira kerana projek yang tertangguh sekian lama dapat dijalankan semula kerana Nik Aziz sudah meninggal dunia.
Projek yang tertangguh sekian lama itu adalah projek kerajaan Perpaduan di antara Umno dan PAS kerana sebelum ini Nik Aziz merupakan batu penghalangnya.
Dalam wawancara bersama Astro Awani, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa mengatakan besar kemungkinan parti Islam itu akan menimbang semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat (PR) jika dilihat daripada kemelut dalaman sedia ada.
“Kebarangkalian itu berlaku sebab saya lihat di peringkat bawah di kalangan ahli-ahli PAS dan perbincangan di kalangan masyarakat umum juga banyak menyebut tentang keperluan PAS melihat semula masa depannya dalam Pakatan Rakyat (PR).
“Kerana banyak sangat isu-isu yang dibangkitkan, khasnya DAP yang bersalahan atau bercanggah dengan asas perjuangan PAS, khasnya untuk mendaulatkan Islam,” kata Nasharuddin seperti dilaporkan Astro Awani Online.
Semasa hayatnya, Nik Aziz dianggap ulama yang memayungi kumpulan dalam PAS yang mahu terus kekal dengan PR.
Suara Nik Aziz begitu kuat dan berpengaruh sehingga usaha menyatukan PAS dan Umno terbantut beberapa kali.
Dalam satu wawancara bersama media beberapa tahun lalu ketika ditanya tentang kerajaan perpaduan bersama Umno, Nik Aziz berkata:
“Berbincang untuk berkerajaan, untuk bersama dengan Umno, yang ini memang saya tidak boleh terima langsung. Ini kerana saya sebagai orang Kelantan sebagaimana yang saya sebut dalam ucapan saya, orang lain tidak merasa pahit maung bersama Umno.
“Sejak dari dulu, Umno tangkap tok guru pondok masuk ISA pada tahun saya mula masuk PAS (1967), ketika mana Umno mengamuk memberkas tok guru-tok guru pondok dimasukkan dalam ISA,” kata Nik Aziz merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed mengatakan semalam, BN tidak perlu meletakkan calon bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka selepas kematian penyandangnya, Nik Aziz.

"Jika ada pilihan raya kecil, banyak yang perlu kita fokus, termasuk soal keselamatan dan mungkin akan berlaku pergeseran antara pimpinan parti. Jadi kini, kita harus fokus pada perpaduan dan bukannya perbalahan antara satu sama lain," katanya pada sidang media di Hotel Sutera Inn, Kota Baru semalam.
Jika BN benar-benar tidak meletakkan calon untuk melawan calon PAS di kerusi DUN Chempaka, ini bermakna tidak lama lagi, projek kerajaan perpaduan akan menjadi kenyataan.
Apatah lagi jika BN pada masa sama bermati-matian melawan calon PR di kerusi Permatang Pauh yang akan dikosongkan Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lagi kerana hilang kelayakan selepas dihukum penjara 5 tahun.
Jika kerajaan perpaduan di antara PAS dan Umno berjaya dilaksanakan, berakhirlah legasi Nik Aziz yang dikenali sebelum ini sebagai penyatu PR selain daripada Anwar.
Maka puaslah hati sesetengah pihak yang sudah lama menanti waktu ini tiba. – TMI

1 comment:

Anonymous said...

Lembing UMNO telah mula menuju sasaran yang tepat pada waktu dan ketika Anuar dah hilang kelayakan Dan almarhum Tok guru sudah tiada maka senanglah puak UG presiden bersilat dengan AJK pusat tapi tak tau la pula jika tuang presiden dilantik mengantikan almarhum tok guru dan tempat tok presidang diganti dengan yang baru atau dipangku sementara oleg timbalannya Mat sabu dan mungkin pula disukai oleh puak UG yang extrem tu sampaikan sanggup nak bakar kenderaan pemimpin sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive