Showing posts with label muktamar 55. Show all posts
Showing posts with label muktamar 55. Show all posts

10 June 2009

Antara dilema Umno, Husam dan ahli PAS

Oleh Samsuri Roslan @ TMI

SHAH ALAM, Jun 10 — Isu kerajaan perpaduan yang dianjurkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang timbul kembali dalam muktamar PAS ke-55 yang baru selesai. Idea kerajaan perpaduan oleh Presiden PAS ini mendapat reaksi positif daripada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mohd Daud Iraqi dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Dalam suatu kenyataan kepada media, Nasrudin dalam apa juga pendekatan atau gagasan yang dikemukakan oleh kepimpinan parti atau oleh presiden jika ia menjadi keputusan syura, keputusan bersama kepimpinan parti maka semua pihak mesti mendokong kerana akhlak kita berjemaah dan adab kita berjemaah mesti mendokong gagasan yang telah diputuskan oleh pimpinan parti. “Jika bukan kita siapa lagi yang mahu mendokong gagasan itu”.

Selain daripada ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang menyokong idea kerajaan perpaduan ini, presiden PAS pula yakin akan tiba masanya gagasan yang dicetuskan itu akan diterima sepenuhnya oleh semua pihak.

“Saya akui gagasan ini terlalu awal dan ia memerlukan huraian yang banyak. Satu hari nanti kita akan terima hakikat akan tiba masanya apa yang ditolak hari ini akan ditinggalkan selama-lamanya,” kata Abdul Hadi.

Mereka mengambil contoh kerajaan perpaduan yang pernah dianjurkan oleh Negara Afrika Selatan dan Indonesia satu ketika dahulu. Idea Ahdul Hadi ini boleh menjadi relevan di dalam situasi kerajaan BN yang kini menghadapi kegawatan ekonomi dan politik.

Bagaimanapun idea kerajaan perpaduan ini ditolak dan dikritik keras oleh para perwakilan termasuk Musryidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Contohnya, Perwakilan PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah ada menyebut Umno sebagai spesis `tikam belakang’. Ahli dan pemimpin Umno tidak boleh dipercayai seratus peratus dan perlu dikuburkan.

Hampir seratus peratus para perwakilan yang membahaskan usul ucapan dasar ini melihat Umno wajib ditentang, tiada kompromi di samping kritikan “kesat” dan berbaur provokasi.

Malahan Mentri Besar Kelantan sendiri yang disifatkan sebagai tokoh agama yang cukup popular dan dihormati serta ditaati oleh pendokong parti ini tetap dengan pendirian bahawa mengundi Umno adalah berdosa!

Begitu juga dengan Muhamad Daud dan Abdul Hadi sendiri. Muhamad Daud masih menyebut kenyataan Nik Aziz dan Abdul Hadi mengenai “kebejatan” Umno. Secara tersirat dia menyebut keperluan dakwah yang berterusan kepada golongan fasik dan jahat ini sehingga menerima hidayah daripada Allah SWT.

Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya menyebut Umno masih meneruskan undang-undang penjajah yang zalim seperti ISA, OSA, AUKU, Akta polis, Akta Penerbitan, Akan Mesin cetak dan sebagainya.

Abdul Hadi menyebut ia telah berjaya digunakan sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa pemerintahan Umno dan BN, melindungi kezaliman dan penyelewengan secara undang-undang dan juga menghakiskan amalan demokrasi, bukannya menjaga keamanan dan keselamatan Negara. - seterusnya

07 June 2009

Ketua Pemuda PAS P Pinang berdendam dengan PKR?

oleh: WFAUZDIN NS

Muktamar Pas kini di penghujungnya dan kesemua perwakilan yang hadir dari merata pelosok negeri merasa lega kerana muktamar kali ini dapat dijalankan dengan baik dan teratur. Meskipun terdapat pertandingan di peringkat tertinggi khususnya jawatan Timbalan Presiden Pas yang amat hangat dan mendebarkan sekali. Perwakilan telah memutuskan bahawa Us Nasa layak ditabalkan sebagai Timbalan Presiden Pas walaupun tidak mendapat undi yang terlalu kuat. Faktanya, Us Nasa menang, tetapi yang tidak menyokong beliau iaitu yang menyokong Husam dan Mat Sabu melebihi dari undi yang diterimanya. Apa pun kita kena terima bahawa Us Nasa adalah Timbalan Presiden Pas yang dipilih.
Semasa muktamar sedang berlangsung sekarang, saya terbaca satu kenyataan oleh Ketua Pemuda PAS P.Pinang iaitu Sdr Mohd Yusni Mat Piah di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 06 Jun 2009. Beliau mengulas tentang kemenangan calon PKR di PRK Dun Penanti baru-baru ini. Ketika muktamar baru sahaja bersemangat menyebut untuk memperkuatkan PR dan pemilihan pula seolah-olah menjurus kepada kepimpinan Ulamak, kita lihat apa yang diucapkan oleh Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini di dalam akhbar tersebut. Petikan adalah seperti berikut," Jika kita lihat kepada peratusan pengundi yang keluar ia amat mendukacitakan dan `signal' yang rakyat tidak puas hati dengan permainan politik PKR. PKR menang kerana rakyat beranggapan daripada memberi undi kepada calon bebas baik pilih PKR kerana Umno tidak bertanding".
Apakah maksud beliau sebenarnya ? Apakah beliau juga beranggapan bahawa pimpinan Pas yang bertungkus lumus berkempen di dalam PRK Dun Penanti tersebut turut terlibat dalam apa yang dikatakan `permainan politik PKR'? Dan, apakah pada anggapan beliau penyokong-penyokong Pas di Dun Penanti `terpaksa' mengundi calon PKR kerana tiada calon lain terutamanya Umno? Jika Umno yang masuk bertanding, apakah beliau akan merasa penyokong-penyokong Pas akan memberi undi kepada Umno? Atau sebenarnya, beliau masih berdendam dengan PKR kerana kegagalan Pemuda Pas P.Pinang untuk meletakkan calon Pas di situ?
Inikah sikap seorang Ketua Pemuda Pas yang memberi ulasan dan kenyataan yang mirip seratus peratus dengan kenyataan Pemuda Umno? Post mortem masih dijalankan oleh PKR tentang keputusan pilihanraya tersebut, tetapi Ketua Pemuda Pas ini telah berani mendedahkan betapa rakan mereka PKR tidak mendapat sokongan rakyat sebenarnya.
Apakah ini jenis Ketua Pemuda di era kepimpinan Ulamak yang kini di bawah Ketua Pemuda Pas yang baru? Saya mungkin terkeliru atau diputarbelitkan oleh akhbar tersebut, tetapi saya mencabar Ketua Pemuda Pas tersebut menyaman akhbar berkenaan jika benar beliau tidak berkata demikian. Jika beliau tidak berani menyaman akhbar berkenaan, beliau harus berani meletakkan jawatannya selaku Ketua Pemuda Pas kerana beliau gagal menghayati semangat setiakawan dan persefahaman pimpinan PR termasuk pimpinan PAS sendiri.
Mursyidul Am Pas dan Presiden Pas serta beberapa tokoh Pas telah bekerja kuat di PRK Dun Penanti, tiba-tiba ada pemuda yang bersikap seperti ini. Saya harap agar Ketua Pemuda Pas yang baru berani bertindak kepada Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini kerana Ketua Pemuda Pas yang baru ada berjanji bahawa beliau bukan sahaja berani berdepan dengan Ketua Pemuda Umno, bahkan sanggup berdepan dengan Najib sendiri.
Nah, buktikan dulu keberanian beliau terhadap Ketua Pemuda Pas P.Pinang ini.
Saya berharap kejadian seperti ini tidak meresapi ke dalam kepimpinan Pemuda Pas yang lain . Percayalah, Pas akan rosak jika punyai pimpinan seperti ini yang sentiasa mencari jalan untuk `menyakitkan hati' rakan-rakan seperjuangan mereka. Saya tidak tahu bagaimana sikap sebenar Pemuda Pas P.Pinang yang sebenarnya terhadap PR, atau mungkin beliau seorang sahaja yang bersikap sedemikian? Seekor kerbau ini harus disembelih sebelum membawa lumpur dan najis ke dalam jemaah Pas.

06 June 2009

Muktamar PAS : bezanya sekarang…Pas pakai kopiah/Umno pakai songkok.

Oleh: MSK

Keputusan siapa Timbalan Presiden Pas sudah keluar dan Ustaz Nasha terpilih sebagai pemenang dalam pertandingan tersebut. Terkejut?

Memang terkejut. Ada banyak yang berlaku dibelakang tabir sehingga mengejutkan orang ramai.

Dalam mana-mana pilihanraya…petugas-petugas Pas dikenali sebagai petugas yang paling berdedikasi dan pandai membuat kerja…terutama dalam membuat culaan pengundi. dan petugas-petugas inilah juga yang membuat culaan dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden.

Sebaik sahaja tamat waktu mengundi…mereka sudah dapat membuat jangkaan siapa yang menang. Dan pemenangnya ialah Husam Musa..diikuti dengan Ustaz Nasha dan Mat Sabu.

Pada pukul 7.30…pengiraan undi dimulakan dan menjelang jam 9.30 malam…pengiraan tamat, dan keputusan tak rasmi sudah bocor kepada pemimpin dan wartawan.

Dan sekitar jam 9.55 malam…Malaysiakini sudah dapat membuat laporan.

Keputusan tak rasmi pada malam semalam sudah diketahui bukan sahaja pemimpin Pas malah pemimpin PKR juga sudah mendapat maklumat. Husam mendapat 453 undi (44.1%), Nasha 388 (37.8%) dan Mat Sabu 188 (18.3%).

Mstar juga melaporkan perkara yang sama.

(Cuma disini Mstar tersilap menulis jumlah undi yang diperolehi oleh Husam..543 undi..sepatutnya 453 undi. perbezaan undi antara Husam dan Nasha ialah 65.( 388+65=453. Bukan 543)

Tetapi mengapa perlu keputusan ditangguhkan sehingga pagi ini?

Dan kalau mengikut laporan Malaysiakini..Mustafa Ali mengatakan pengiraan undi berlaku sehingga jam 2.30 pagi!! Apakah Jawatankuasa Pemilihan memerlukan ENAM jam setengah untuk mengira seribu undi?

Ada sesuatu yang tak kena dalam pemilihan Pas kali ini. Apakah taktik Mahathir semasa menentang Tengku Razaleigh sudah diimpot oleh Pas?

Dan apabila keputusan rasmi diumumkan pagi tadi…memang ramai yang terkejut. Macam mana keputusan tak rasmi dan rasmi begitu jauh berbeza?

Keputusan rasmi.. Husam 281 (27.4%), Nasha 480 (46.8%) dan Mat Sabu 261 (25.5%)
Ada apa-apa yang berlaku dalam gelap lagi?

Ha.ha..ada perwakilan ke muktamar SMS kat aku..bezanya sekarang…Pas pakai kopiah/Umno pakai songkok.

Keputusan Rasmi - Nasha menang Timbalan Presiden

Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan timbalan presiden PAS dalam pemilihan parti itu semalam.Menurut rasmi, Nasharuddin mendapat 480 undi, Datuk Husam Musa (281) dan seorang lagi calon, Mohamad Sabu mendapat 261 undi.

Pengerusi pemilihan, Datuk Mustafa Ali mengumumkankeputusan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi ini.

Bagi jawatan naib presiden pula, pemenangnya - seperti yang dijangkakan - ialah Salahuddin Ayub yang mendapat 824 undi, Tuan Ibrahim Tuan Man (871) dan Mahfuz Omar (636).

Dua lagi calon - Mujahid Yusof Rawa mendapat 277 undi dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah memperolehi 333 undi.

Lebih 1,000 perwakilan mengundi semalam dan pengiraan selesai sehingga awal pagi ini.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai presiden tanpa bertanding.

Muktamar ke-55 PAS sedang berlangsung selama tiga hari di Shah Alam.

PENGERUSI TETAP (MTB)
Abu Kasim Bin Abdullah, Ustaz Haji

TIMBALAN PENGERUSI TETAP
Hussin Bin Haji Ismail, Haji

PRESIDEN (MTB)
Abdul Hadi Hj Awang , YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN
Nasharudin Mat Isa, YB Ustaz Haji

NAIB PRESIDEN
Mahfuz Omar, YB Dato' Haji
Salahuddin Ayub, YB
Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato’ Ustaz

05 June 2009

Media baru celikkan rakyat tolak BN

Rakyat telah berjaya dicelikkan hasil maklumat daripada sumber media baru sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang diadakan selepas pilihanraya umum lalu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Enam pilihanraya kecil telah diadakan selepas pilihanraya umum 2008 dan Pakatan menang lima daripadanya - bermula dengan Parlimen Permatang Pauh, Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan Penanti. Satu lagi pilihanraya kecil - DUN Batang Ai di Sarawak di menangi oleh BN.
Manakala pilihanraya kecil bagi DUN Manek Urai akan berlansung pada 14 Julai depan. Suruhanjaya Pilihanraya telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai. Media baru khususnya di Internet termasuk portal berita dan blog memainkan peranan untuk menyediakan maklumat alternatif kepada rakyat yang selama ini dikuasai oleh media arus perdana yang dikuasai kerajaan BN.
"Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat yang telah celik, hasil daripada maklumat yang dimerdekakan ke atas mereka oleh sumber media baru, sehingga memilih Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil itu," kata Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar PAS hari ini.
Kesemua pilihanraya ini kita sama-sama hadapi dengan semangat kerja kuat dan keserasian setiakawan Pakatan Rakyat yang tidak pernah luntur. Walaupun kita berhadapan dengan BN yang berselindung di sebalik jentera kerajaan dan pelbagai agensi, tetapi kita berjaya membuktikan bahawa rakyat terbanyak masih kukuh bersama kita dengan kita memenangi lima dari enam kerusi yang dipertandingkan, dan Insya Allah kita akan dapat mempertahankan Manek Urai.
Namun begitu, katanya, kejayaan Pakatan itu dicapai melalui usaha keras yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya serta pihak-pihak yang membantu tanpa habuan wang ringgit.
'Keadilan dicorobohi'
"Rupanya kerjasama kita yang sebegini erat, sangat membuatkan pihak tertentu merasa irihati dan merasa bahang kepanasannya" Kemuncak dari keangkuhan mereka ini adalah tindakan tanpa susila merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat yang telah sama-sama kita bina di negeri Perak Darul Ridzuan. "Suara rakyat diketepikan dan semangat Perlembagaan dan undang-undang tidak dilaksanakan, manakala keadilan dicerobohi apabila tiadanya pemisahan kuasa dalam badankehakiman.," katanya.
Abdul Hadi bderkata, kerajaan yang sedang berbakti kepada rakyat telah direntap dengan "senjata peras ugut dan rasuah politik". "Apa yang lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan Dewan dilanggari, bahkan kedudukan Dewan tempat bersidangnya DUN Perak dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa yang kini menjadi bahan momokan masyarakat antarabangsa, dengan perbuatan tidak bertamadun dan bermoral. "
Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia, hasil daripada tindakan Umno dan BN yang gelabah, kerana semakin pudar pengaruhnya di hati rakyat Malaysia," tegasnya. - malaysiakini

Buka keahlian pada bukan Islam antara strategi PAS


SHAH ALAM: PAS memulakan Muktamar Tahunan Ke-55 pagi ini dengan menggariskan enam strategi, antara lain mahu menampilkan satu imej dan citra sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS perlu menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat 'usuliy' dari segi prinsip-prinsip perjuangan, 'mu’asirah' dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, 'istiqbaliy' dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

Selain itu, Hadi yang menerajui PAS sejak 2002 berkata, beliau mahu semua peringkat ahli parti memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jemaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar umbi. "Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan," katanya.

Malah, Ahli Parlimen Marang itu berkata, pihaknya ingin memimpin perubahan dalam negara ini dengan Islam.

"Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh," kata beliau dalam ucapan dasar bertemakan Islam Memimpin Perubahan.

Tiga strategi lain yang diketengahkan Hadi ialah:

- Melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan bersedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

- Terus-menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global.

Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

- Mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam pilihan rata umum ke-13.

- mStar

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive