Kewujudan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar di atas tanah milik kerajaan negeri sebenarnya sudah lebih dari 30 tahun. Hanya kira-kira 100 meter dari pusat tersebut, letaknya pasar awam yang secara umumnya didatangi oleh majoriti orang Melayu/Islam setiap hari.
Berhampiran pusat penyembelihan tersebut juga terletak sebuah kampung Melayu, Telok Yan, yang mengandungi kira-kira 200 buah rumah.Keadaan pusat penyembelihan tersebut amatlah dhaif, kotor, tidak terurus serta sistem pembuangan yang tidak sempurna. Ia wujud bagi membekalkan keperluan daging untuk kawasan utara Kedah. Keperluan sebenar hanya antara 50 sehingga 80 ekor, tetapi dilaporkan secara harian 120 ekor disembelih. Tidak dipastikan ke mana lebihan tersebut dibawa.
Oleh kerana pusat tersebut tidak diselia dengan sempurna, di samping mencemarkan persekitaran, ia juga mengeluarkan bau yang sangat busuk. Jika hari hujan, orang ramai yang lalu lalang terpaksa menutup hidung walau dari jarak yang jauh. Ia merimaskan orang ramai termasuk, kesemua peniaga Cina yang berniaga di deretan kedai berhampiran. Sisa-sisa babi juga dibuang sewenang-wenangnya ke dalam tong sampah milik MBAS.
Pada tahun 1995, MBAS (ketika itu masih Majlis Perbandaran) telah membatalkan lesen perniagaan pusat penyembelihan tersebut serta memberi notis untuk keluar dari tapak tersebut. Bermakna sejak 14 tahun yang lalu, pusat tersebut beroperasi secara haram. Jika ada pejuang kaum memberitahu bahawa kerajaan negeri hanya memberi tempoh selama sebulan untuk mencari tapak baru, ternyata tidak betul. Sebenarnya tempoh melebihi 168 bulan telah diberikan!
Pada tahun 80-an, berhampiran pusat penyembelihan itu juga terdapat pusat penyembelihan lembu dan kerbau. Apabila diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa tempatan setelah tempat tersebut dianggap tidak sesuai, mereka berpindah tanpa banyak soal. Tiada pihak pun yang melakukan provokasi perkauman.
Isu pusat penyembelihan babi itu dibincangkan secara serius apabila ahli-ahli MBAS dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Semua tahu dalam apa isu pun, ahli majlis kerajaan tempatan dari Pakatan Rakyat menanganinya secara serius dan professional.
Dalam mesyuarat Ahli MBAS yang diadakan mereka bersetuju dengan sebulat suara supaya tindakan meroboh pusat tersebut dilakukan segera setelah pelbagai faktor dilihat. Sekalipun kewujudan pusat itu telah tidak disenangi oleh kesemua orang Melayu/Islam yang tinggal berhampiran, tetapi ia bukan faktor yang diambilkira oleh MBAS dalam membuat keputusan merobohnya. Ertinya langsung tidak bersabit dengan isu perkauman, tetapi soal perundangan dan peraturan yang tidak dipatuhi oleh pengusaha haram tersebut. Jauh sekali dari bermaksud menafikan hak-hak orang bukan Islam seperti yang ditohmahkan.
ADUN Kota Darul Aman, Lee Guan Aik dan pengusaha haram tersebut telah bertemu Menteri Besar untuk memohon ehsan beliau bagi mengarah penangguhan kerja meroboh. Mereka meminta tempoh sebulan untuk mencari tapak baru (setelah 14 tahun mencari tak jumpa?). Menteri Besar bersetuju.
Selepas habis tempoh sebulan seperti yang diminta oleh pengusaha maka tindakan merobohkan dilakukan pada 1 Julai 2009.
STONE: Untuk ADUN Kota Darul Aman, YB Lee Guan Aik, jangan lah isu BABI ini nak dijadikan isu perkauman. Janganlah cuba untuk menyalahkan kerajaan negeri dibawah pimpinan Ustaz Azizan bersabit dengan kes sekecil ini.
Kenapa begitu lama diperlukan untuk mencari tempat baru? 14 tahun. Kenapa tempat penyembelihan lembu kerbau boleh berpindah dan tidak untuk tempat penyebelihan babi?
Sudah 2 hari terpampang gambar YB dalam setiap berita TV3 dengan bangga YB cuba menyalahkan kerajaan Pakatan Rakyat dibawah pimpinan PAS yang kononnya tidak ada sebarang perubahan dalam memperjuangkan rakyat.
Sebagai wakil rakyat PR, YB tak sepatutnya mewakili satu-satu kaum sahaja. Sebagai wakil rakyat juga YB sepatutnya membuka ruang minda pemikiran YB dengan lebih luas.
Jadilah wakil rakyat untuk semua. Bukan untuk satu-satu kaum sahaja. Dan buka lah minda pemikiran YB seluas-luasnya, bukan pemikiran sempit macam apa yang berlaku sekarang.
No comments:
Post a Comment