03 August 2009

DEMO 1 OGOS - Tanda kejatuhan BN Najib Altantuya?


Oleh Haris Zalkapli

KUALA LUMPUR, Ogos 2 — Semalam, 1 Ogos 2009, telah tercatat satu lagi sejarah penting dalam perjalanan panjang perjuangan demokratik rakyat Malaysia apabila demonstrasi anti-ISA berjaya dilaksanakan, walaupun tidak sepenuhnya mencapai matlamat.

Demonstrasi anti-ISA dipimpin Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pakatan Rakyat dan kehadiran kecil kumpulan pro-ISA itu walau bagaimanapun, seperti yang sepatutnya, lebih tertumpu pada anti-ISA yang bertentangan dengan pandangan kerajaan.

Pelbagai kritikan telah dilemparkan pihak pemerintah dan penyokongnya kepada demonstrasi itu, tanpa mengambil kira hak rakyat negara ini untuk berhimpun seperti yang menjadi amalan di negara-negara demokrasi seluruh dunia.

Pihak anti-ISA dituduh dengan pelbagai tuduhan, daripada mengganggu ketenteraman, menyusahkan peniaga-peniaga hingga motif-motif di sebalik perhimpunan itu.

Apapun tuduhan yang dilemparkan, isu utama yang perlu dinilai ialah hak rakyat untuk bersuara dan respons pemerintah terhadap perhimpunan itu.

Sama ada demonstrasi menentang ISA 1 Ogos lalu bermotif politik tertentu, contohnya mengalih perhatian daripada kes dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa penentang pembangkang, itu soal lain.

Perlu diakui, demonstrasi-demonstrasi besar yang dijalankan pembangkang seperti Bersih pada 2007 dan anti-PPSMI beberapa bulan lalu sememangnya ada motif lain selain apa yang menjadi tuntutan utama.

Kerajaan BN juga mempunyai kepentingan tertentu dalam melaksanakan banyak program baharu, selain daripada yang dinyatakan secara rasmi dan diulang-ulang pengulas dan penyokong parti-parti menguasai kerajaan.

Soal utama ialah hak rakyat (semua rakyat Malaysia, bukan “rakyat” seperti dimaksudkan sebuah akhbar, yang dikatakan disusahkan oleh demonstrasi itu) untuk berhimpun menyatakan suara mereka.

Hak ini, akibat pengajaran dan pembelajaran budaya politik autoritarian dan berasaskan bahasa kuasa selama terutamanya hampir 30 tahun lalu, telah dinafikan pihak berkuasa dan dilihat sebagai sesuatu yang sangat negatif.

Menjelang mana-mana demonstrasi, media dikuasai parti pemerintah akan meuar-uarkan kebimbangan tentang keselamatan dan pelbagai ancaman, seiring dengan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan tentang bahaya ancaman itu.

Hakikatnya, sebahagian besar pembangkang mempunyai kepentingan supaya demonstrasi melibatkan mereka berlangsung dengan aman dan mereka tidak hilang sebarang kawalan, terutama melibatkan demonstrasi yang besar.

Pembangkang lebih terdedah kepada persepsi negatif dan akan lebih banyak rugi sekiranya demonstrasi anjuran mereka terlibat dengan kekacauan atau keganasan. Selain tangkapan pihak berkuasa dan banyak kesusahan lain, pembangkang sangat perlu menjaga imej sebagai pihak yang bertanggungjawab dan bersedia untuk mentadbir negara.

Dengan segala kawalan dan kekangan yang disediakan oleh pihak pemerintah, mereka tidak sepatutnya menuding jari kepada pembangkang kerana kekacauan yang berlaku pada 1 Ogos. Kawalan yang sewajarnya dengan kerjasama pembangkang dapat memudahkan perjalanan demonstrasi anti-ISA itu.

Rancangan GMI dan penentang ISA sangat mudah, iaitu berkumpul dan bergerak ke Istana Negara untuk menyerahkan tuntutan. Sekiranya ini dibiarkan berlangsung dengan aman, dan dengan syarat penganjur dan peserta himpunan memberi kerjasama, ia akan mudah dilaksanakan, tanpa perlu drama berlebihan dan tindakan keras pihak berkuasa.

Pemerintah masih berdegil dengan sikap autoritarian mereka yang enggan memberi ruang kepada sebarang tindakan demokratik rakyat. Sikap ini terus memberikan imej buruk kepada negara, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu dilapor media luar negara.

Pemerintah perlu sedar imej mereka telah lama buruk di peringkat antarabangsa ekoran sikap seperti ditunjukkan dalam demonstrasi-demonstrasi. Apa yang dilakukan pada 1 Ogos memburukkan lagi imej mereka, walaupun pada masa sama cuba menangani kemerosotan sokongan ini dengan pelbagai cara.

Kedua-dua pemerintah dan pembangkang kini terlibat dalam persaingan menyampaikan mesej kepada rakyat dan dunia. Sehingga kini, pembangkang lebih ke hadapan dan pemerintah jauh ketinggalan, akibat apa yang dilakukan seperti di demonstrasi anti-ISA.

Tetapi apa yang lebih penting daripada permainan imej itu ialah hak demokratik rakyat untuk berhimpun dan menyatakan suara mereka tanpa diperlihatkan sebagai pengacau dan gerombolan yang mengganggu ketenteraman dan merosakkan harta benda awam.

Tindakan parti pemerintah terus menyekat rakyat dengan keras tanpa ada sebarang tanda untuk memberi ruang hanya akan mempercepatkan tamatnya tempoh kekuasaan mereka - TMI

2 comments:

org memali said...

belajar menghormati golongan / masyarakat terbanyak adalah sebahagian amalan demokrasi .malah islam menuntut hak yg lebih kepada masyarakat teramai tanpa meninggalkan hak2 minoriti . sehubungan itu golongan2 yg suka berdemo , adalah wajar menerima saranan kerajaan supaya disediakan tempat yg sesuai untuk berdemontrasi tanpa melucutkan hak yg suka berdemo dan yg s uka ketenteraman .Sekiranya mahu publisiti war2kan kepada penyokong2 shj . Adil untuk semua pihak .jgnla kata kalau biarkan , tiada apa yg akan berlaku . itu belum pasti -tiada jaminan . jg ada jaminan ditempat tertutup seperti stadium shah alam atau stadium bukit jalil .ramai penyokong bolih hadir tanpa ancaman meriam air atau tangkapan pihak berkuasa . ok

hazeeqtaib said...

Saya bersetuju nak adakan demonstrasi tetapi yang mengadakan demonstrasi tu kenapa orang melayu sahaja yang ramai. Mana perginya orang cina yang kuat menentang ISA
Yang menentang ISA itu pemimpin pembangkang cina saja itu pun nak jaga hati kawan.
Wahai orang melayu cuba sedar diri kita orang melayu dipergunakan oleh
orang cina dan india untuk memjatuhkan pemimpin melayu, raja melayu dan polis polis yang menahan itu pun orang melayu.
Cuba kita semua orang melayu kalau nak buat demonstrasi semua bangsa turut serta kalau orang cina banyak yang turut serta begitu juga orang india. Kalau mereka semua turut serta bolehlah kita orang melayu turut serta. Bangsa melayu buat tunjuk perasaan, bangsa lain duduk dirumah tertawakan kita. Sedarlah wahai orang melayu malaysia terutama diKL dan Pulau Pinang.
Cuba renungkan apa apa yang tulis ini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive