Desas-desus mulai tersebar, bahawa Khairy Jamaluddin didesak untuk meletakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO-nya, atas alasan "kegagalan beliau menterjemahkan hala tuju Pemuda UMNO selari dengan kepimpinan Presiden UMNO, Najib Abdul Razak".
Sebarang pengesahan dan penafian oleh mana-mana pihak tidak bermakna buat setakat ini. Realitinya Khairy Jamaluddin menang tipis dalam pertarungan tiga penjuru pada Mac 2009; dan kemudiannya, nama "pemenang" jawatan ketua sayap pemuda ini tidak tersenarai dalam barisan kabinet Najib, sementara lawannya yang kecundang, Mukhriz Mahathir dan Naib-nya, Razali Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Menantu bekas PM Abdullah Ahmad Badawi ini pernah dituding jari sebagai punca kekalahan UMNO-BN dalam PRU ke-12. Kini, beliau pula dipersalahkan kerana gagal menterjemahkan hala tuju perjuangan selari dengan kepimpinan Najib, tanpa menjelaskan apakah sebenarnya hala tuju perjuangan Najib.
Seandainya individu Khairy menjadi ikon untuk melambangkan keangkuhan, kezaliman dan kerakusan kuasa UMNO-BN pada PRU ke-12; maka situasinya pada hari ini pula mencerminkan dilema UMNO-BN secara keseluruhannya. Ringkasnya, dilema Khairy terjelma dalam soalan berbunyi, bagaimana berpolitik ala-bandar, dalam sebuah parti yang kubunya bertapak di kampung?
Khairy: Selepas PRU ke-12
Jelas, bekas Naib Ketua Pemuda zaman pimpinan Hishammuddin Hussein ini "kurang menonjolkan diri" buat seketika selepas tsunami politik 8 Mac 2008. Untuk tempoh tersebut, seperti rakan seperjuangannya dalam parti, apa-apa yang diperkatakan atau diperlakukan serba tidak kena pada tempatnya. [seterusnya]
No comments:
Post a Comment